Belanjawan 2024 yang dijadualkan untuk dibentangkan 13 Oktober ini, akan bersandarkan pada kerangka MADANI dengan memberi fokus kepada nilai pembangunan serta pekerjaan dalam sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).
Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata,
Kementerian Kewangan (MOF) akan memperkasa sektor tersebut supaya dapat
bersaing dalam ekonomi baharu, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.
"Hal ini adalah kerana PMKS merupakan antara pemacu utama
ekonomi dengan kadar pertumbuhan dan peluang pekerjaan selain sektor tersebut
paling terkesan terutama pada masa pandemik Covid-19.
"Oleh itu, kita perlu membina semula PMKS, keduanya kita juga
nak membantu sektor tersebut meningkatkan rantaian nilai… menaikkan siling
supaya PMKS kita boleh bersaing bukan sahaja di Malaysia tetapi global dalam
ekonomi baharu, digital, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi hijau,"
katanya dipetik.
Beliau ditemui pada Majlis Tayangan Dokumentari dan Pengumuman Penerima
Manfaat Program Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara Malaysia di Kuala
Lumpur semalam.
Sementara itu Sim berkata proses merancang belanjawan kali ini
menerima sambutan paling ramai dengan membabitkan sebanyak 8,000 maklum balas
secara bersemuka dan 11,000 menerusi portal kementerian.
"Apa yang kita mahu adalah Belanjawan 2024 ini boleh
mencerminkan aspirasi semua lapisan masyarakat di Malaysia tidak kira kaum,
agama, jantina dan negeri, di mana kita jelajah semua negeri untuk mendapat
pandangan daripada semua pihak," katanya kepada pemberita.