MANA-MANA AHLI PARLIMEN BN - KALAU BERANILAH - BOLEH CUBA TIRU MACAM ADUN REMBIA INI


Adun Rembia, Melaka, Jailani Khamis yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO kerana hadir ke majlis pengumuman calon PN bagi PRK Dun Simpang Jeram di Bakri, Johor pada 23 Ogos lalu, dilaporkan telah meminta dirinya dipecat daripada UMNO.


Perkara itu dinyatakannya dalam jawapan bertulis terhadap surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin UMNO kepadanya.


Sambil mempertahanlan dirinya tidak bersalah kerana kehadirannya ke program tersebut adalah atas tiket NGO Muafakat Nasional yang diterajui Annuar Musa, Jailani bagaimanapun tidak mahu tindakannya itu memberi malu kepada UMNO.


“Dengan rasa rendah diri, saya meminta Lembaga Disiplin UMNO mengambil keputusan di bawah peruntukan 20.10 (D) iaitu dipecat daripada parti setelah disahkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan bukan mana-mana hukuman lain.


“Saya tidak mahu malukan UMNO, saya minta permohonan saya diterima,” katanya dalam surat jawapan tersebut.


Sebagai ahli UMNO, lebih-lebih lagi berkedudukan wakil rakyat, mustahil Jailani tidak tahu kehadirannya ke program parti lawan adalah suatu kesalahan dari segi disiplin.


Menggunakan alasan hadir atas tiket NGO Muafakat Nasional sama sekali tidak logik untuk menghalalkan kehadirannya kerana ia majlis pengumuman calon parti lawan untuk PRK.


Lainlah kalau beliau hadir majlis tahlil atau kenduri doa selamat mana-mana wakil rakyat PN, barulah ia bukan suatu kesalahan.


Lebih-lebih lagi jika beliau hadir itu sebagai jemputan khas untuk membaca doa misalnya.


Apa pun, agaknya memang Jailani sudah tiada hati lagi dengan UMNO sejak kebelakangan ini dan memang mahu meninggalkan parti itu.


Cuma, kalau beliau saja-saja keluar UMNO, kedudukannya sebagai Adun Rembia akan tergugur dan perlu diadakan pilihan raya semula.


Tetapi, apabila dipecat, kedudukan sebagai wakil rakyat tetap akan selamat.


Maka, mungkin itulah sebabnya Jailani sendiri memohon agar UMNO memecatnya.


Hmmmmm….


Dengan langkah yang diambil Jailani itu, ia segera mengingatkan kepada ura-ura yang sejak sekian lama kedengaran kononnya ada tujuh Ahli Parlimen BN mahu meletakkan jawatan masing-masing bagi memaksa pilihan raya kecil diadakan, seterusnya selepas dipilih semula, mereka akan memberi sokongan kepada blok pembangkang PN untuk menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.


Komplot itu bagaimanapun perlu sama mendapat sokongan daripada GPS, GRS dan parti-parti kecil yang lain.


Sebelum ini, sebaik keputusan PRU15 lalu diumumkan, tujuh Ahli Parlimen BN berkenaan adalah antara yang menandatangani akuan bersumpah menyokong Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.


Bagaimanapun, di bawah undang-undang anti lompat parti, akuan bersumpah atau SD sudah tidak laku lagi kerana sebarang keputusan hendaklah diputuskan oleh parti, bukan secara individu.


Malah, mereka juga tidak dibenarkan melompat parti kerana ia akan menyebabkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen atau Adun tergugur secara automatik.


Hanya jika seseorang itu dipecat daripada parti, barulah kedudukannya sebagai wakil rakyat tidak terjejas.


Mengambil kira apa yang dilakukan Jailani dan kiranya tujuh Ahli Parlimen yang disebut-sebut itu masih mahu menjatuhkan kerajaan perpaduan, barangkali mereka boleh mendapat inspirasi daripada apa jawapan beliau kepada Lembaga Disiplin UMNO itu.


Kalau berani…cuba-cubalah berbuat sesuatu yang melanggar disiplin agar diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin UMNO dan kemudian mintalah juga dipecat daripada UMNO.


Apabila sudah dipecat, bebaslah untuk membawa haluan dan memberi sokongan kepada sesiapa saja yang dikehendaki.


Hehehe…itu pun kalau mereka beranilah!!


Cuma masalahnya satu saja, akan tergantung tak bertalilah keadaan mereka jika UMNO tetap enggan memecat seperti yang diharap-harapkan itu. – ShahbudinHusin 06/09/2023.


https://shahbudindotcom.net/