GELOMBANG HIJAU GAGAL: JOHOR KALIS POLITIK ‘ADU DOMBA’

 



Kegagalan PN untuk mengungguli kerusi parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram walaupun berusaha dengan taktik serangan media sosial Tiktok yang menjadi senjata terhebat mereka dalam Pilihan Raya Negeri baru baru ini membuktikan rakyat Johor bijaksana serta tidak termakan politik adu domba.

Bagi Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin, kemenangan calon calon Pakatan Harapan (PH) itu juga membuktikan rakyat Malaysia telah menerima rasional kewujudkan Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini cuba dikelirukan oleh jentera propaganda PN.

“Rakyat akhirnya menerima dengan baik kewujudan Kerajaan Perpaduan, kemenangan ini juga menunjukkan perpaduan jentera PH dan BN semakin menemui rentak dalam mencipta kejayaan.

“Sudah pasti kemenangan ini diberikan kerana rakyat akhirnya dapat melihat kerjasama PH dan BN inilah yang berupaya mencetuskan kestabilan dan memberi harapan kepada masa depan negara dengan amalan politik sederhana yang diamalkan kepada semua.

“Tidak kurang pentingnya daripada kemenangan ini ialah cita-cita PN untuk menembusi negeri Johor terbukti tidak berjaya sama sekali.

“Bangsa Johor yang terkenal dengan semangat muafakat cenderung sepakat menolak politik adu domba, ektremisme dan asyik menyalahkan kerajaan yang cuba dibawa oleh PN,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Noraini lagi, kegagalan PN, terutama kalah dengan majoriti besar di Pulai bererti Johor akan menjadi kubu kebal PH dan BN selepas ini.

“Kegagalan PN bukan saja bererti suatu kejayaan buat PH, tetapi ia juga memperlihatkan Johor adalah negeri yang kalis untuk mereka (PN) cuba tembusi.

“Tiada masa depan lagi untuk PN di Johor,” katanya.

Selain itu, Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat itu turut berkata, kemenangan di Johor memperlihatkan keserasian jentera PH dan BN dalam bekerjasama dan menentukan strategi terbaik pun baharu 9 bulan dalam satu pasukan.

“Kemenangan ini tidak lain adalah hasil kerja keras jentera PH dan BN berkempen hampir dua minggu selama ini, demi untuk meyakinkan rakyat perlunya wakil Kerajaan Perpaduan dijadikan pilihan,” katanya lagi.

Keputusan rasmi PRK yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya malam ini di parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menang dengan majoriti 18,641 undi, sementara di Simpang Jeram, Nazri berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 3,514 undi.