SELEPAS ZAHID HAMIDI BEBAS, MAMPUKAH PH MENANG DUA PRK JOHOR DAN MAMPUKAH ANWAR BERTAHAN LAGI DI PRU16?

 


Pertama-tamanya, sebelum terlupa dan agar dilihat seperti tidak sama bersyukur, ingin diucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi kerana tidak lagi bergelar kluster mahkamah bermula hari ini.

Ia berikutan beliau telah dibebas tanpa dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi atas kesemua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang sedang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan DNAA (dibebas tanpa dilepaskan) terhadap Zahid Hamidi yang dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar.

Permohonan menggugurkan kes itu dibuat oleh pihak pendakwa berikutan penerimaan terhadap representasi yang dikemukakan oleh Zahid Hamidi agar kesemua kesnya digugurkan.

Meskipun digugurkan daripada semua 47 pertuduhan, DNAA yang diputuskan itu bermakna Zahid Hamidi masih boleh didakwa di lain masa jika didapati ada bukti-bukti baru diperolehi oleh Pejabat Peguam Negara.

Tetapi logiknya, selagi kerajaan perpaduan ini masih berkuasa dan Zahid Hamidi berada di jawatannya sekarang, kemungkinan untuk melihat beliau didakwa semula biasanya amatlah tipis.

 

Sementara UMNO tentunya gembira dan bersyukur dengan tindakan pihak pendakwaan memohon pengguguran kes Zahid Hamidi ini, di mata umum, ia tetap dianggap sesuatu yang pelik dan dalam perbualan dengan banyak pihak, lebih ramai yang geleng kepala berbanding mengangguk setuju.

Pertama, kes ini sudah berada di peringkat membela diri di mana sebelum ini telah diputuskan ada kes prima facie oleh mahkamah.

Bila ada prima facie, bererti pihak pendakwaan sudah memiliki bukti yang kukuh tentang kesalahan yang dilakukan oleh Zahid Hamidi.

Maka, tentulah jadi pelik bila pihak pendakwa setuju pula kes digugurkan dan menerima representasi yang dikemukakan oleh pihak pembela.

Kedua, keputusan pihak pendakwa ini berlaku hanya empat hari setelah Ahmad Terriruddin Mohd Salleh dilantik sebagai Peguam Negara yang baru menggantikan Mohd Idrus Harun.

Sebelum itu, kira-kira sebulan lalu, ketua pendakwaraya, Raja Rozela Raja Toran secara tiba-tiba digugurkan daripada mengetuai pendakwaan terhadap kes Zahid Hamidi ini.

Kemudian dilaporkan pengguguran itu dibuat kerana Raja Rozela secara tiba-tiba memohon untuk bersara awal.

Setelah dua kali tiba-tiba, hari ini tiba-tiba pula pihak pendakwa memohon kepada mahkamah agar Zahid Hamidi dibebas tanpa dilepaskan daripada semua kes yang sedang dihadapinya.

Pun begitu, oleh kerana pengguguran kes Zahid Hamidi ini berlaku hanya kira-kira lima hari lagi sebelum pengundian PRK Pulai dan Simpang Jeram pada 9 September, kesannya terhadap pilihan raya itu sedang menjadi bualan di merata ceruk percakapan politik.

Ada yang mengatakan, keputusan jni seperti memberi peluru percuma kepada PN untuk mereka meningkatkan lagi serangan serta hentaman kepada PH/BN, kerajaan perpaduan serta Anwar Ibrahim.

Tidak kurang yang meramalkan, ini sekaligus akan menyebabkan calon PH lebih sukar untuk memperolehi kemenangan.

Yang lain pula beranggapan, jika pun calon PN masih boleh menang di Pulai dan Simpang Jeram nanti, Anwar tentunya lebih perit untuk mengelakkan kerajaan perpaduan yang dipimpinnya ini daripada jadi kerajaan sepenggal saja.

Mungkin lain persepsinya jika Zahid Hamidi diputuskan tidak bersalah oleh mahkamah selepas melalui proses perbicaraan berbanding apa yang berlaku ini di mana pendakwa sendiri memohon kes untuk digugurkan. – ShahbudinHusin 04/09/2023.