Kerajaan Negeri Selangor akan melakukan intervensi harga dan bekalan dalam menghadapi isu kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT).
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, intervensi tersebut dilakukan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) yang akan melakukan jualan BPT di outlet perbadanan itu serta lokasi terpilih.
"Tambahan kepada langkah kawalan harga siling penjualan BPT oleh pihak Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan penjualan beras 5kg/bag dengan harga RM13 bagi manfaat rakyat negeri Selangor.
"Jualan ini akan dilaksanakan melalui PKPS di 4 outlet PKPS serta 3 lokasi jualan bergerak pada setiap hari sehingga bulan Disember 2023," kata Amirudin dalam kenyataan hari ini.
Menteri Besar juga memberi jaminan krisis BPT akan berakhir pada bulan hadapan apabila musim tuaian padi di Malaysia akan berlaku pada Oktober melibatkan sawah di Utara Semenanjung dan juga di Selangor sendiri.
Di Negeri Selangor, katanya, kapasiti pengeluaran beras adalah 138,903.13 tan metrik setahun di atas tanah tanaman padi sebanyak 18,061.53 hektar, melibatkan seramai 6,871 orang pesawah.
"Ini bersamaan dengan pengeluaran 4.19 tan metrik bagi setiap hektar.
"Keperluan BPT di negeri Selangor pula sebanyak 45,500 tan metrik sebulan.
"Mengikut keperluan bulanan ini, stok BPT di negeri Selangor adalah mencukupi sehingga penghujung September 2023," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu mengingatkan rakyat khususnya di Selangor agar memahami situasi sebenar krisis beras global dan tidak terikut ikut propaganda Perikatan Nasional yang memfitnah kononnya kelemahan kerajaan dalam pengedaran BPT adalah satu satunya punca masalah.
Realitinya, kata Amirudin, tahap sara diri beras negara adalah 62.6% manakala bakinya diimport dari negara seperti Vietnam, Thailand, Pakistan, dan India.
Negara India mengambil keputusan melarang pengesportan beras varian bukan basmathi pada bulan Julai kerana pengeluaran padi merudum akibat cuaca dan penyakit.
"Pada tahun 2021, Malaysia mengimport sebanyak 338,863 tan metrik, iaitu 13.13% daripada keperluan beras tahunan sebanyak 2,580,000 tan metrik untuk menampung penggunaan seluruh rakyat Malaysia.
"Ini menyebabkan peningkatan harga beras import yang mendorong rakyat Malaysia untuk beralih membeli beras putih tempatan," katanya.
Tambah Amirudin untuk mengatasi masalah berkenaan, Kerajaan Persekutuan akan menambah kawasan penanaman padi dan menggunakan kaedah terbaik yang dilakukan di Selangor di sawah
Selangor di sawah Sekinchan yang mempunyai pengeluaran lebih tinggi ke negeri-negeri lain.
Namun bagi negeri Selangor, kata beliau, untuk untuk mengatasi masalah jangka pendek Kerajaan Negeri telah menubuhkan Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor (KSPDS) bagi menangani kekurangan stok di kedai dan pasaran.
Justeru, rakyat Selangor yang menghadapi sebarang masalah bekalan boleh menghubungi KSPDS di talian 03-32898419 ataupun 017-2230771 untuk bercakap secara terus ataupun melalui aplikasi WhatsApp.
Kerajaan Negeri melalui KSPDS komited untuk mengambil tindakan dalam tempoh masa 24 jam bagi mengatasi aduan bekalan beras putih tempatan.