Oleh: Abdullah Zaid
Manifesto setiap DUN menjadi fenomena baharu dalam Pilihan Raya
Negeri (PRN) bagi pengundi menilai apakah yang mereka akan perolehi selepas
memilih seseorang calon.
Calon Pakatan Harapan (PH) N.12 DUN Penanti, Rosidi Hussain atau
lebih dikenali Ustaz Rosidi menawarkan tujuh teras buat pengundi di kawasan
itu.
Menurut beliau, tujuh agenda yang ingin dibawa ialah meningkatkan
produktiviti pengeluaran padi bagi kawasan sentral negeri Pulau Pinang;
Meneruskan usaha menjadikan Penanti sebagai destinasi eko-pelancongan nombor
satu di Pulau Pinang dengan kekayaan biodiversiti pinggiran sungai dan
kehidupan desa; Meningkatkan daya huni Penanti dari aspek menyediakan perumahan
mampu milik dengan kerjasama agensi Wakaf Pulau Pinang.
Dalam sektor perniagaan pula, Ustaz Rosidi mahu mengggalakkan
industri kecil sederhana (IKS) dan penaiktarafan gerai serta pasar malam.
Beliau juga akan merancakkan program jatidiri dalam meningkatkan
semula 'self esteem' remaja serta mewujudkan kaunter tetap Cari Kerja untuk
anak muda serta penambahan fasiliti sukan.
Meningkatkan pendidikan anak muda dan menyediakan kemudahan
mencari kerja salah satu manifesto Ust Rosidi
Beliau akan berusaha mengembalikan minat belajar dalam kalangan
pelajar sekolah yang terkesan pandemik dengan mewujudkan Pusat Tuisyen Rakyat
(PINTAR) dan memperkenalkan Penanti sebagai daerah penghayatan ilmu Islam
(thurath) dengan kembali merujuk kepada kitab-kitab asal serta membangunkan
pengajian digital di masjid atau surau.
Rosidi yang berkelulusan bidang Undang-Undang Syariah Universiti
Islam Antarabangsa (UIA) dan berbekalkan pengalaman 10 tahun dalam bidang
politik yakin mampu membawa khidmat terbaik kepada pengundi di DUN Penanti.
Pada PRN ini, beliau bakal bertemu dengan lawannya Zulkefli Bakar
daripada PN.