Subsidi harga padi bagi pesawah akan dinaikkan mulai esok di seluruh negara.
Hal itu diumumkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar
Ibrahim semasa berucap pada Majlis Sentuhan Agro Madani Negeri Perak di Parit
Buntar, pagi tadi.
Kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) tersebut dinaikkan daripada
RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan.
"Ini kenaikan terbesar dalam sejarah. Anwar Ibrahim dulu
ketika jadi Menteri Kewangan pernah naikkan (kadar).
"Hari ini saya naikkan sekali lagi, hari ini umum, esok
naik," kata beliau dipetik Bernama seolah olah mengulangi ceramah
pembangkang "hari ini menang, esok harga minyak turun" yang menjadi
modal menyindir pentadbiran Pakatan Harapan apabila tiba musim pilihanraya.
Menurut PM, peningkatan subsidi itu akan melibatkan perbelanjaan
RM1 bilion setahun.
Manakala untuk menyelesaikan masalah pemutuan padi pula, Anwar
berkata perbincangan akan dilakukan dengan Kementerian Pertanian dan
Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menempatkan pegawai pertanian di kilang padi
swasta, khusus bagi memantau proses permutuan.
Hal itu katanya, bagi mengelak pengilang bertindak sesuka hati
tanpa mengikut standard ditetapkan.
Pada majlis sama, Anwar menyampaikan bantuan berjumlah RM21.8 juta
yang memanfaatkan 28,295 pesawah dan peladang negeri Perak.
Bantuan tersebut disampaikan beliau kepada Pengerusi Jemaah
Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Sham Mat Sahat dan wakil-wakil
Persatuan Peladang Kawasan (PPK) mengikut daerah.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri
Mohamad Sabu.