Rakyat Kelantan diminta membuat keputusan demi kebaikan diri sendiri dan masa depan anak-anak mereka pada Pilihan Raya Negeri Sabtu ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat negeri itu
perlu meneliti sebab Kelantan masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain
terutama Perak, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.
"Mengapa negeri lain maju?
"Jawapannya pemerintah (Kelantan) tidak fikir ke depan, tak
ada rancangan yang baik, yang ada hanyalah cerca orang, fitnah kepada
orang," katanya dipetik.
Anwar berkata begitu dalam ucapan di Jelajah Perpaduan MADANI di
Batang Merbau di Tanah Merah, Kelantan malam tadi.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata,
rakyat juga tidak seharusnya terus terpengaruh dengan isu agama dibawa oleh
parti politik.
"(Masih guna) syurga dan neraka puluhan tahun dah, nak masuk
syurga dan neraka bukan (ditentukan) parti," katanya.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa menghadiri Majlis Ilmu dan
Selawat di Madrasah Ribat Al Musthofa, Kampung Bagan Bawah, Pulai Chondong,
Machang. Beliau turut bersama warga madrasah itu menunaikan solat Maghrib
secara berjemaah.