Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan
memperuntukkan RM2 bilion sebagai dana asas untuk Fasiliti Peralihan Tenaga
Nasional.
Menurut beliau, inisiatif tersebut akan menjadi pemangkin kepada
sektor peralihan tenaga yang mempunyai kekangan pinjaman atau potensi pulangan
di bawah harga pasaran.
"Kemajuan kita dengan mengambil kira keadaan semasa teknologi
penyahkarbonan Malaysia yang belum matang, banyak bergantung kepada sumber
tenaga alternatif serta kerjasama serantau dan antarabangsa yang mantap,"
katanya.
PM berkata demikian ketika berucap pada ucaptama ketika
Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2023 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala
Lumpur (KLCC) hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kewangan
turut menegaskan bahawa usaha berkenaan turut melibatkan aspek pembiayaan
kewangan yang besar yang belum tentu mampu ditanggung sepenuhnya oleh sektor
swasta.
"Oleh kerana cabaran utama dalam peralihan tenaga adalah
pembiayaan yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM1.2 trilion bagi tempoh
2023 hingga 2050, diperlukan untuk membolehkan peralihan tenaga
secara cermat," katanya.
Tambah Anwar, pada waktu ini kerajaan memerlukan peruntukan
antara RM60 bilion hingga RM90 bilion bagi menampung projek-projek
penting, termasuk pengembangan pengangkutan awam, memperkukuh infrastruktur
serta latihan modal insan.
Selain itu, Ahli Parlimen Tambun tersebut turut menyifatkan kecekapan
tenaga penting untuk penyelesaian jangka panjang, sekali gus mengurangkan
risiko pelepasan karbon.
Oleh itu, katanya, melalui Majlis Tenaga Negara kerajaan akan
sentiasa memastikan pembangunan dasar dan perancangan tenaga sentiasa dipantau.
"Saya secara peribadi akan memastikan Majlis ini berfungsi
seperti diamanahkan. Langkah berikut (seterusnya) ini penuh bermakna.
"Kita akan buktikan peluncuran strategi (NTER) dipantau
serius oleh kementerian dan pihak yang bertanggungjawab," katanya lagi.
Dalam ucapan itu juga PM memberi contoh dana asas yang diberikan
boleh digunakan dalam pelaburan rantaian nilai kenderaan elektrik (EV),
hidrogen dan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS)
yang menjadi tumpuan dalam kalangan negara maju pada waktu ini.