PENUNGGANG AGAMA BAKAL DIAMBIL TINDAKAN TEGAS

 

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau mengemukakan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mempermainkan serta menunggang agama Islam.

Anwar berkata cadangan itu juga dikemukakan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah setelah dibincangkan bersama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

“Tunggu 12 Ogos, selepas itu apapun keputusan (selepas hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri)…Ini bukan soal politik, saya tidak peduli dia sokong siapa, itu hak dia.

“…tetapi kalau kamu tunggang agama, permainkan hukum Allah, menghukum orang, memfitnah orang, fitnah yang besar, nak kafirkan orang yang tak sokong dia adalah musuh Allah…saya nak beritahu malam ini…we will not tolerate with this nonsense (kita tidak akan bertolak ansur dengan karut ini),” katanya.

Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata demikian ketika berucap pada Grand Finale Kita Selangor, di Kuala Lumpur, malam ini, yang turut dihadiri Zahid selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Fadillah merangkap ketua whip Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Anwar berkata cadangan tersebut adalah bagi mempertahankan kepentingan semua rakyat Malaysia, bukan sahaja buat kaum Melayu. 

“Ya kita tingkatkan fahaman Islam, penghayatan Islam. Kita tingkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan mantapkan martabat Bahasa Melayu (sebagai) bahasa pengantara dan bahasa ilmu. Kita jamin keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dan kita muliakan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Tetapi dengar sini baik-baik, jangan kita hina mana-mana anak Malaysia daripada mana-mana kaum…Setiap rakyat, baik Dayak di Kapit, Cina, India beragama Hindu, semua itu warga kita dan mesti kita pertahankan, ” katanya. 

Perdana menteri berkata ini kerana rakyat daripada semua kaum di Malaysia berhak untuk disantuni dan mendapat pembelaan.

“Ini bukan mainan campur-tolak. Saya sokong orang Melayu dan ini bukan bermakna saya akan singkir orang Cina… Saya tegaskan sekarang, negara ini mesti selamat. Negara ini mesti menyatuni semua rakyat,” katanya. 

Sementara itu, Zahid, yang menyentuh mengenai PRN ketika berceramah pada program berkenaan berkata, peluang diberikan PH kepada BN untuk bertanding 108 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri membuktikan keikhlasan PH dalam bekerjasama dengan BN.

Justeru, katanya jentera BN bertanggungjawab untuk membantu calon gabungan itu serta PH bagi membalas keikhlasan yang ditunjukkan oleh PH dan berusaha meraih kemenangan pada PRN melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Selain itu, beliau mengulangi keyakinannya Selangor akan ditadbir oleh kerajaan perpaduan, malah mahukan Amirudin Shari untuk terus menjadi menteri besar negeri berkenaan pasca PRN itu.

“Walaupun kita diserang dan diterjah dengan pelbagai fitnah tetapi saya yakin apabila merah (PH) dan biru (BN) bercantum dengan penuh keserasian, insya-Allah (raih kemenangan),” tambahnya.

Hari pengundian PRN membabitkan enam negeri berkenaan serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak Sabtu ini. –

Sumber – Bernama, 11 Ogos, 2023.