'Masalah ekonomi berpunca daripada kelemahan pemimpin sebelum ini'



 Sikap ahli politik dan pemimpin yang lemah dalam mentadbir menjadi punca utama kepada masalah ekonomi negara, tegas Rafizi Ramli.



Rafizi yang juga Timbalan Presiden KEADILAN malam tadi berkata kelemahan ekonomi di negara ini sudah menjadi suatu masalah struktur yang sebati disebabkan tatakelola tidak baik dan terhakisnya amanah dalam kalangan pemimpin yang mentadbir ekonomi.


Atas dasar itu jelasnya, permohonan maaf perlu dibuat kepada rakyat kerana wujudnya pemimpin tidak kompetan, tidak fokus dan tidak terlatih yang pernah berada dalam pentadbiran menyebabkan negara gagal mengatasi masalah struktur itu lebih awal.


"Rakyat terpaksa hidup dalam pentadbiran demi pentadbiran yang hilang punca dan fokus, akhirnya selepas 20 tahun ia menjadi masalah struktur yang sebati dengan ekonomi kita.

"Masalah ekonomi kita tidak boleh diselesaikan dengan kaedah lama kerana ia seolah-olah kekotoran yang tidak dibersihkan itu menjadi karat, masalah struktur ini memerlukan kaedah yang radikal dan penyelesaian luar kotak, bukan lagi pendekatan serupa sebelum ini.


"Justeru, pada peluang ini kita wajar memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana pemimpin yang lemah, baik kami dan yang pernah berada dalam pentadbiran tidak fokus dan terlatih menguruskan ekonomi," katanya.


Rafizi berkata begitu pada sesi Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang disiarkan secara langsung malam tadi.


Mengulas lanjut mengenai apa yang berlaku di Malaysia, beliau menjelaskan, masalah ekonomi dihadapi negara jauh lebih rumit dari apa yang digambarkan kerana ia sudah berakar umbi.


Masalah tersebut tegasnya tidak boleh diselesaikan dengan satu pengumuman dasar saja dan ia perlu diharmonikan melalui satu kerangka ekonomi yang jelas termasuk melalui usaha kerajaan melancarkan Ekonomi Madani dan Dasar Gaji Progresif.

"Masalah struktur pertama membawa kepada masalah struktur kedua iaitu gaji yang dibayar kepada rakyat terlalu rendah dan tidak seiring dengan kenaikan harga barang sejak 20 tahun lalu.


"Struktur ketiga, kedudukan kewangan kerajaan yang lemah, merangsang ekonomi dengan berhutang kemudiannya meninggalkan kesan kepada generasi muda," katanya.