PH - BN Kedah usahakan REE hasil baharu negeri, jika berkuasa
Gabungan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (PH-BN) di Kedah
berjanji untuk menghentikan kecurian unsur nadir bumi (REE) sekiranya berjaya
membentuk kerajaan di negeri itu pada 12 Ogos depan.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Ketua Setiausaha
Agung PH berkata, janji tersebut ditawarkan oleh gabungan itu bagi memastikan
galian berharga di negeri itu terjamin selamat dan tidak dicuri.
"Kami akan segera hentikan insiden kecurian ini dan surat 15
Mei (kebenaran masuk hutan simpan) dan surat 3 Mei (surat kebenaran persampelan
di Kampung Bendang Man) kita akan batalkan serta merta.
"Ini pintu kepada kecurian. Hentikan kecurian dan mulakan
siasatan terhadap REE," katanya Saifuddin dalam sidang media pada Khamis.
Mengakui REE adalah sumber pendapatan baharu kepada Kedah,
Saifuddin Nasution berkata, kerajaan negeri perlu bekerjasama rapat dengan
kerajaan pusat di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan
Iklim bagi memulakan rundingan.
"Mengikut dasar semasa tidak akan diluluskan juga sekiranya
Kerajaan Perpaduan mengambil alih di mana kerajaan negeri dan kerajaan pusat
sama, kita akan memulakan perundingan.
"Ini untuk melihat dasar semasa bagi melihat ruang
fleksibiliti dilakukan atas rasional hasil bumi Kedah wajar diusahakan secara
mengikut undang-undang dan peratusan. Ini akan kira rundingkan," katanya.
Sementara itu tambah Saifuddin, sebaik sahaja mengambil alih
pentadbiran Kedah, pihak Kerajaan Negeri akan berunding dengan Kementerian
Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk memastikan satu garis
panduan perlombongan REE akan diputuskan bagi menjadikan aktiviti melombong
galian itu di hutan simpan lancar dan tidak dianggap melanggar undang undang
seperti dasar sedia ada.