Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini adalah medan untuk rakyat menyelamatkan enam negeri terbabit dari berdepan kerosakan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada pilihan raya kali ini rakyat perlu memberi undi mereka kepada gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) sebagai isyarat mereka mahu kerosakan selama ini diatasi.
“PRN ini selamatkan negeri kita. Anda putuskan macam mana nak jadi negara, kalau main-main dengan undi, mereka (pembangkang) menang rosak negara,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani di Kampung Melayu, Air Itam,
Turut hadir pada program tersebut adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan rakyat tidak lagi boleh tertipu dengan janji-janji yang dibuat pembangkang yang pada hakikatnya tidak dapat dilaksanakan.
Ini kerana jelasnya, negeri-negeri ditadbir pembangkang jelasnya berdepan dengan pelbagai isu yang sangat membimbangkan.
“Tengok masalah air di Kelantan, kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah, Jana Wibawa (rasuah), ini semua berlaku dan bila mereka disiasat mereka kata PM zalim,” katanya.
Anwar menambah, beliau akan menggunakan kuasa yang ada sebaik mungkin untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah mereka.
“Saya tidak janji syurga, selalu depa (mereka) janji, dan saya tak kata neraka kalau tidak sokong, tapi saya janji akan buat sebaiknya. Saya akan gunakan kuasa sebaik mungkin, saya bukan muda lagi, tetapi saya nampak muda dan tenaga juga muda.
“Kita kena pastikan kita menang dengan lebih bergaya dan dengan majoriti lebih baik agar kita mempunyai kerajaan yang lebih stabil untuk anak muda,” katanya.