Janji manifesto pilihanraya lebih sedekad lalu untuk menurunkan harga minyak tidak boleh diguna pakai pada waktu Kerajaan Perpaduan mentadbir negara ketika ini.
Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, janji penurunan harga minyak dibuat menjelang Pilihan Raya Umum 2008, pada waktu hutang negara tidak setinggi sekarang.
Namun kerana rakyat tidak mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM pada masa itu atau pilihanraya seterusnya, maka janji tersebut tidak boleh dilaksanakan.
“Hari ini kalau orang tanya kenapa YB tak turunkan harga minyak, kenapa YB lebih banyak bercakap tentang gaji?
“Kenapa tumpuan kerajaan bidang ekonomi baru? Kenapa kita tidak menurunkan harga minyak seperti tahun 2008, 15 tahun lepas?
“Pertama, hutang negara kini RM1.5 trilion. Hutang kita kena bayar. Kerajaan kena buat pilihan.
“Saya bagi contoh tahun 2022, kita ambil alih Kerajaan Persekutuan, berapa wang subsidi yang kerajaan terpaksa belanjakan?
“Dengan harga petrol RM2.05 seliter berapa kerajaan tanggung harga minyak? Kerajaan tanggung subsidi RM1 seliter.
“Harga sebenar minyak sekitar RM3.10 seliter. Kalau nak turunkan harga minyak, dengan harga RM2.05 seliter, berapakah jumlah wang yang kerjaaan belanjakan? Kerajaan belanja RM25 bilion setahun. Tahun lepas subsidi diesel, RON 95 dan elektrik RM80 bilion,” katanya dalam ceramah Jelajah Madani DUN Sungai Tua malam tadi.
Menurut Menteri Ekonomi itu, sumber pendapatan kerajaan hanya RM300 bilion setahun. Kalau kerajaan bayar subsidi RM80 bilion, bayar faedah hutang RM30 bilion, bayar gaji pekerja beratus bilion, bayar sewa, akhirnya tiada hasil untuk peruntukan membantu rakyat, naikkan gaji atau bina lebih banyak rumah.
Katanya, sekiranya kerajaan tidak mempertimbangkan faktor berkenaan dan hanya mahu menang pilihanraya, sudah lama harga minyak diturunkan.
“Dengan harga minyak AS$80 setong, kalau nak menang pilihanraya mudah, saya dan Datuk Seri Anwar kata turunkan harga minyak 20 sen.
“Orang undi, tetapi maknanya akan ada gaji cikgu dipotong, projek rumah rakyat miskin tak berjalan, bekalan air di Kelantan, Sabah tak boleh dibaiki. Yang mana sebenarnya (pemikiran) lebih bertanggungjawab,” katanya.
Rafizi berkata rakyat tidak boleh diajar jalan pintas untuk hidup senang dengan sogokan tunai kerana hal itu akan menyebabkan kerajaan akan menanggung lebih banyak hutang.
“Hutang kita tinggi seperti ini pun sebab pentadbiran sebelum ini ambil jalan singkat. Nak menang bagi duit. Nak tunjuk ekonomi maju buat projek besar, 1MDB, MRT sedangkan semua itu rugi dan kita tanggung beban hutang sampai 40 tahun,” katanya lagi.