Oleh: Abdullah Zaid
Misi memastikan DUN N.03 Pinang Tunggal dipertahankan dalam
penguasaan Pakatan Harapan (PH) begitu mencabar dalam Pilihan Raya Negeri Pulau
Pinang kali ini apabila berhadapan 'gelombang hijau' yang masih dirasai di
kawasan Melayu.
Namun calon PH, Zainuddin Mohamed optimis dapat mengekalkan
kemenangan di kerusi itu pada 12 Ogos ini.
Bekas Ahli Majlis Seberang Perai (MBSP) itu berkata, sepanjang
tempoh 10 hari berkempen rata-rata masyarakat dan jentera memberi respon yang
positif kepadanya, sekali gus memberi kelebihan buat calon baharu berkenaan.
"Walaupun saya calon muka baru tapi hakikatnya saya dah lama
berkhidmat kepada masyarakat.
"Tetapi saya tak nak terlalu yakin. Namun saya lihat ada
sinar dari segi penerimaan pengundi termasuk masyarakat kampung.
"Ia ditambah lagi dengan sokongan daripada jentera UMNO yang
terdiri daripada pemuda dan wanita turut sama membantu sepanjang kempen
ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Selain itu, Zainuddin juga mengakui ada menerima maklumat bahawa
jentera PN sengaja menggunakan sentimen untuk menakut-nakutkan pengundi DUN
Pinang Tunggal.
Bagaimanapun, calon KEADILAN itu lebih memilih cara yang efektif
untuk menarik hati pengundi atas pagar bagi memenangi PRN.
"Ada perbualan yang kata jangan undi PH atas sebab perkauman,
jadi saya ditanya bagaimana untuk menjawab dakwaan tersebut.
"Saya katakan kita ada tiga kelompok iaitu penyokong PH dan
pro PN, serta Atas Pagar.
"Jadi pada saya, tak perlu beri banyak penerangan kepada
kelompok tegar (PN) sebaliknya fokus pada kategori Atas Pagar yang tiada
pengaruh politik. Mereka menilai berdasarkan apa yang diperhati," jelasnya
lagi.