TUN MAHATHIR SENGAJA MAHU PN KALAH PRN?



 Beberapa tulisan Tun Mahathir Mohamad kebelakangan ini, jika diteliti dengan jelas membawa maksud mengajak orang Melayu memusuhi orang bukan Melayu, selain melakukan serangan kepada DAP yang disokong oleh 90 peratus pengundi bukan Melayu dengan dakwaan mahu menguasai negara ini.

Kalau diperhatikan pula, tulisan yang menggambarkan pendirian terbarunya sejak hilang deposit dan sejak Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sekarang ini begitu jauh berbeza dengan pendirian ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan kemudian ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan lagi melalui sokongan PH pada 2018-2020 yang lalu.


Sebagaimana poket yang berubah boleh menjadikan manusia berubah, hilang kuasa, hilang deposit dan sakit hati kepada musuh yang kini menjadi Perdana Menteri, rupa-rupanya turut mengubah hampir sebahagian besar pendirian Tun Mahathir antara dahulu dan sekarang.

Jika dulu beliau benar-benar dilihat sebagai pemimpin berjiwa Malaysia dengan tiada masalah langsung terhadap kemajmukan kaum di negara ini sambil sering mengajak perpaduan antara kaum, kini semuanya sudah berubah.

Pernah menerima sokongan DAP untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, kemudian tanpa segan memuji DAP lebih baik daripada MCA kerana bermesyuarat dalam bahasa Melayu serta menyanyikan lagu kebangsaan, kini tuduhan beliau ialah DAP dan kaum pendatang kononnya mahu menguasai negara ini, ingin Malaysia menjadi negara berbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular – negara yang tidak ada agama rasmi.

Orang Melayu yang tertutup dan terhad pergaulannya barangkali akan mudah terpengaruh serta seronok dengan tulisan Tun Mahathir yang seiring dengan perjuangan Proklamasi Orang Melayu yang kini dilaung-laungkannya itu, tetapi orang Melayu yang terbuka, malah anak-anaknya sendiri yang menjalin perniagaan dengan orang bukan Melayu untuk menjadi kaya, boleh jadi secara diam-diam turut ragu-ragu dengan keikhlasan beliau.

Soalan paling mudah ialah kenapa hanya baru sekarang beliau ternampak cukup prihatin tentang nasib dan kedudukan orang Melayu di negara ini?

Ketika berkuasa selama 22 tahun dan campur lagi 22 bulan, kenapa tidak berbuat sesuatu yang konkrit mengenai nasib orang Melayu melalui kuasa sebagai Perdana Menteri yang ada dalam tangannya?

Kenapa ketika berkuasa asyik-asyik melabel Melayu sebagai malas dan seumpamanya?

Di sebalik menjadikan DAP sebagai sasarannya dan menunjukkan kecenderungan bermusuh dengan bukan Melayu, Tun Mahathir dalam waktu yang sama mengumumkan keinginan untuk bekerjasama dan membantu PN dalam PRN enam negeri yang akan datang ini.

Setelah mengumumkan kesediaan bekerjasama dengan Mahiaddin Md Yasin dan ia kemudian disambut positif oleh Pengerusi PN itu, Tun Mahathir baru-baru ini berkata, kedua-dua mereka akan bertemu selepas Aidil Adha nanti.

Dalam hal ini, ada kemungkinan minggu ini atau minggu depan mereka akan bertemu.

PN dalam PRN akan datang ini, selain ingin mengekalkan penguasaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, juga bercita-cita besar untuk menawan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Bermusuh dengan bukan Melayu mungkin tidak menjejaskan peluang PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi bagaimana dengan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang banyak dapat kerusi-kerusi campuran?

Bagaimana pengundi bukan Melayu mahu menyokong PN yang disokong oleh Tun Mahathir yang jelas bermusuh dengan mereka?

Tidakkah dengan PN menerima sokongan daripada Tun Mahathir akan menjadikan pengundi bukan Melayu lebih menjauhi gabungan tersebut?

Tidakkah juga serangan dan api permusuhan yang dimarakkan oleh Tun Mahathir akan menjadikan pengundi bukan Melayu lebih kuat mendakap DAP dan tidak sama sekali menyokong Gerakan, satu-satunya komponen dalam PN untuk segmen pengundi bukan Melayu?

Ataukah Tun Mahathir memang sengaja bersikap lebih rasis dan bermusuh dengan bukan Melayu, sambil menyokong PN kerana tidak mahu PN menang di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan disebabkan masih ada dendam tersemat dalam hati kecilnya terhadap Mahiaddin yang pernah menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri melalui Langkah Sheraton dan kemudian memecatnya daripada Bersatu sebelum ini? – ShahbudinHusin 04/07/2023.