Kenyataan meminta maaf Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada Sultan Selangor berhubung ceramah beliau yang mempertikaikan kebijaksanaan sultan melantik MB Selangor merupakan pengajaran penting sebelum kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula.
Menurut MB Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, semua pihak seharusnya menjauhkan diri daripada menunggang isu Raja, Agama dan Kaum (3R) yang boleh melanggar undang undang dalam kempen PRN yang bakal berjalan dua minggu lagi.
"Sebenarnya langkah kerajaan mengingatkan jangan terlalu menunggang isu 3R itu akhirnya boleh memakan diri kalau kita salah keluar pandangan, atau salah difahami oleh masyarakat
"Ini pengajaran yang baik dan saya harap semasa kempen pilihanraya tidak timbul lagi isu sebegini. Marilah kita bincang isu fakta, data dan juga bagaimana kita ingin membangunkan negara dan negeri pada masa akan datang," katanyaketika ditanya pemberita selepas menghadiri Kongres Suara Anak Muda di Petaling Jaya, petang tadi.
Mengenai permohonan maaf MB Kedah itu, Amirudin menganggap hal itu akan dapat menyelesaikan kontroversi yang berlaku selama empat hari berhubung ucapan beliau beberapa hari lalu.
Bagaimanapun beliau kurang faham mengenai permohonan maaf Sanusi dalam masa sama mendakwa kenyataan telah diputar belit.
"Akhirnya dia minta ampun walau tak mengaku salah. Itu yang pelik. Tak apa polis sedang melakukan siasatan.
"Bila kita tegur dia kata tak ada, lepas itu dia minta ampun
"Saya rasa benda ini dah berjalan. Jadi kita minta (dia) berhati hati bila berucap," katanya lagi.
Menteri Besar Kedah semalam memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataannya baru-baru ini yang didakwa menghina baginda.
Dalam hataran di Facebooknya, Sanusi berkata permohonan maaf itu disampaikan melalui warkah yang dihantar kepada istana Selangor dan dibaca oleh baginda semalam.
SK.ONLINE