Teori terbaharu Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor kononnya Selangor maju kerana menumpang 'tuah' Kuala Lumpur yang telah lama maju ditempelak MB Selangor.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sekiranya ukuran kemajuan adalah menumpang jiran maka Kedah pun telah lama maju kerana menumpang Pulau Pinang sebagai negeri ketiga termaju di Malaysia.
"Kedah sebelah dia Pulau Pinang, pun (mundur) macam itu juga.
"Sebelum dia bertolak ke Selangor (dari Kedah) dia lalu Pulau Pinang. Dia lalu tepi laut, nampak di cermin (tingkap kereta). Penang dekat sebelah (Kedah), apa impaknya?
"Jadi jangan fikir macam itu," kata Amirudin sinis ketika ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Madani Afiat di Dewan Rakyat Batu Caves, Selangor pagi tadi.
Tambah MB, memang benar Selangor maju dan mengambil peluang daripada kemajuan Kuala Lumpur. Namun Selangor telah menubuhkan bandar satelit di Petaling Jaya sejak era 1970an lagi.
Kedah juga, katanya, perlu melakukan demikian dalam mengambil 'tuah' daripada kemajuan Pulau Pinang.
Namun, menurut Amirudin, berbanding sumbangan ekonomi Selangor sebanyak 25% KDNK Persekutuan, sumbangan Kedah hanya sekitar 3%.
"Sanusi, mata dia ke tempat lain tetapi tidak tengok pada masalah negeri dia.
"Minggu depan saya akan pergi Kedah. Saya akan terangkan macam mana nak jadi (negeri) yang terbaik," katanya.
Menyentuh persediaan pilihanraya dan kekuatan PN di kawasan Selangor Utara sebagaimana ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu, Amirudin berkata, kawasan berkenaan bukanlah kubu kuat sesiapa
Katanya, sebelum PRU 2018 kawasan itu kubu kebal BN namun pada waktu ini ia boleh dimenangi oleh mana mana parti yang bekerja keras.
"Selangor Utara ini tidak menjadi kawasan tradisi mana mana pihak. Secara tradisinya dahulu kawasan itu kawasan BN kemudian pada 2018 kita telah menembusi kawasan sana di bawah bendera PH.
"Hanya baru baru ini PN mungkin mendapat sedikit kelebihan di kawasan utara Selangor. Jadi saya rasa persaingan masih terbuka di kawasan itu untuk semua parti bersaing
"Kita yakin dengan program kita dan suntikan baru dari rakan kongsi BN. Kita harap akan berjaya menawan kembali kerusi di sana dengan selangat Kerajaan Perpaduan," katanya.
bagaimanapun, tegas Amirudin, sekiranya PN hanya berkubu dan mengharap kekuatan di Selangor utara maka itu menunjukkan mereka tidak berupaya menawan Selangor.
"Dalam masa sama, itu juga menunjukkan ketidakyakinan PN menawan Selangor kerana mereka hanya menumpukan utara Selangor. Kalau macam itu mereka hanya bersedia untuk menjadi pembangkang yang kuat," katanya lagi.