PROKLAMASI MELAYU CUBA SELIT 17 NAMA UNTUK BERTANDING PRN ATAS TIKET PN?


Malam ini akan berlangsung majlis pengumuman calon-calon PN yang akan bertanding di Selangor.


Majlis akan berlangsung di Taman Medan dan akan hadiri oleh pimpinan utama parti-parti yang bergabung dalam PN.


Ini adalah majlis pengumuman calon yang pertama diadakan oleh PN dan bagi setiap negeri lain yang juga berlangsung PRN, majlis berbeza akan diadakan di tempat masing-masing pada waktu lain selepas ini.


Dengan pengumuman calon malam ini nanti, maka berakhirlah teka-teki siapa yang akan bertanding, siapa tercicir dan siapa yang terkeluar daripada senarai dalam usaha PN menawan negeri Selangor.


Apa yang menarik dalam hal ini, sehari sebelum majlis di Selangor itu berlangsung iaitu semalam, seorang pimpinan kanan PN difahamkan telah didatangi oleh “seorang utusan” Proklamasi Melayu yang diterajui oleh Tun Mahathir Mohamad.


Dalam perjumpaan tersebut, “utusan” Proklamasi Melayu itu difahamkan telah menyampaikan senarai 17 nama kepada pemimpin kanan PN itu untuk diselit dan dimasukkan sebagai calon bagi sama-sama mewakili gabungan blok pembangkang dalam PRN di enam negeri yang akan berlangsung nanti.


Ertinya, bagi setiap negeri yang berlangsung PRN nanti, Proklamasi Melayu cuba mahu meletakkan lebih kurang tiga calon mereka bagi setiap negeri.


Difahamkan lagi bahawa disebut oleh “utusan” Proklamasi Melayu itu bahawa senarai 17 nama itu ialah calon-calon yang dipilih dan telah dipersetujui oleh Tun Mahathir.


Pemimpin kanan PN yang ditemui “utusan” Proklamasi Melayu itu bagaimanapun dikatakan tidak memberi sebarang komitmen atas perkara tersebut.


Malah beliau diberitakan menyebut kepada “utusan” Proklamasi Melayu itu – “kami pun tak habis bergaduh lagi bab calon ini”.


Makna kata, dalam sibuk-sibuk bercakap soal Melayu, perlunya Melayu bersatu, Melayu akan terus terpinggir dan macam-macam lagi tentang Melayu, rupa-rupanya yang diutamakan bagi Proklamasi Melayu tetaplah juga kepentingan kerusi dalam pilihanraya.


Tak turut bertanding tak boleh ke?


Atau kalau mahu bertanding juga, kenapa Proklamasi Melayu tak guna kekuatan dan tiket sendiri?


Mengapa mesti mahu menumpang kekuatan PN?


Agak-agaknya apa jadi selepas ini jika tiada satu pun daripada 17 nama itu diterima oleh PN? – ShahbudinHusin 26/07/2023.


https://shahbudindotcom.net/