Wakil masyarakat India dari 22 cabang KEADILAN seluruh Selangor
hari ini berikrar mempertahankan sokongan masyarakat India kepada kerajaan
Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.
Menurut Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat India Datuk Menteri
Besar Selangor, Dr Gunaraj George, wakil wakil masyarakat India telah
membincangkan beberapa strategi untuk membantu mengekalkan PH dan Menteri Besar
Datuk Seri Amirudin Shari berkuasa di Selangor.
"Kami seluruh pimpinan 22 Cabang bersetuju menyokong penuh
Datuk Seri Amirudin sebagai Menteri Besar (MB).
"Untuk PRN kami menyediakan penceramah Tamil yang akan
mengadakan ceramah di kawasan masing masing. Juga program turun padang dari
rumah ke rumah akan dibuat oleh anggota KEADILAN, di mana kempen ini sangat
efektif dan kita perlu turun.
"Kerajaan Selangor di bawah PH selama 3 penggal ini telah
membawa banyak perubahan dan semalam kita difahamkan Selangor berjaya mencapai
25% KDNK negara, di mana kerajaan Selangor di bawah Datuk Seri Amirudin
menunjukkan prestasi cukup baik," katanya dalam sidang media petang tadi.
Selain itu, menurut Dr Gunaraj, 47 program Inisiatif Peduli Rakyat
(IPR) selangor juga telah dipekenalkan dan mungkin program tersebut masih
rakyat yang belum tahu.
Kempen PRN jentera PH katanya akan turut mengambil kesempatan
untuk menyampaikan kepada rakyat yang layak tetapi masih belum mendaftar dengan
program IPR tersebut.
Beliau juga menjelaskan program Jelajah Ehsan Rakyat yang menjual
bahan makanan asas dengan harga subsidi akan diteruskan sehingga keadaan
kenaikan harga barang kembali seperti sediakala.
Bagi masalah khusus masyarakat India, kata Ahli Dewan Negeri
Sentosa itu banyak masalah yang telah berjaya diselesaikan sepanjang 5 tahun
lalu PH berkuasa.
"Sekolah Tamil contohnya, kita mendapat sokongan yang baik
dari Kerajaan Negeri. Minggu hadapan sekolah Tamil dan Cina kita dapat
(diumumkan) peruntukan dari Kerajaan Negeri.
"Pelajar India juga akan ditempatkan sebanyak 200 orang dari
keluarga kurang kemampuan, kita akan beri bantuan asrama. Asrama telah dibina
dan minggu depan MB akan umum berita baik," katanya.
Untuk gerak kerja pilihanraya pula, Dr Gunaraj berkata hal itu
telah berjalan sejak Pilihan Raya Umum pada November 2022 lalu dan akan
dilakukan dengan lebih mantap bagi mempertahankan negeri.
"Gerak kerja jentera di setiap cabang sebelum ini telah dimulakan.
Semua cabang telah kerja keras pada PRU, sekarang Kerajaan Negeri Selangor kita
perlu pertahankan.
"Pimpinan cabang sedia sokong, pastikan jentera cabang
dimantapkan untuk kekalkan PH," katanya.