Pilihan raya negeri: Bersedia untuk membuat perhitungan! (2)


Pengundi perlu mengambil serius pilihan raya ini berbanding untuk tidak melibatkan diri




Kesemua enam kerajaan negeri yang akan mengundi menghadapi gabungan isu-isu ini. Beberapa isu ini mungkin berbeza secara geografinya dalam negeri tertentu.

Faktor lain yang saling berkaitan yang boleh mempengaruhi aliran pengundian termasuklah kesetiaan dan ideologi politik, perbezaan kelas sosioekonomi, jurang bandar-luar bandar, faktor umur, perkauman dan jantina.

Pengundian mengikut gender

Di dalam artikelnya selepas pilihan raya umum tahun lalu, saintis politik Dr Bridget Welsh melihat pengundian mengikut gender. Analisis beliau mencadangkan lebih ramai wanita berbanding lelaki yang keluar mengundi berbanding pilihan raya umum 2018, dan PN mengambil keuntungan daripada keadaan ini yang didorong oleh sokongan daripada wanita, yang kebanyakannya tertumpu di kalangan wanita Melayu.

Undi daripada wanita cukup penting dalam sebarang keputusan pilihan raya. Jika benarlah undi wanita boleh mengubah sesuatu keputusan, bagaimana parti atau gabungan ini akan mendapat kepercayaan dan keyakinan dari para pengundi wanita menjelang pilihan raya nanti?

Apa yang penting kepada pengundi wanita

Jadi apa yang penting kepada pengundi wanita? Ia mungkin gabungan beberapa isu yang dibincangkan sebelum ini.

Apa pun, keputusannya mungkin bergantung kepada sejauh mana nasib wanita dan keluarga mereka dijaga atau jenis bantuan atau peluang yang wanita terima atau alami sejak pilihan raya negeri yang lalu.

Tetapi bagaimana pula dengan:

·         obsesi tidak berkesudahan (dan cukup memenatkan) tentang polis moral dalam mengawal tubuh dan autonomi wanita

·         kurangnya kepercayaan dan pelaburan dalam kepimpinan politik wanita. Lihatlah bagaimana perwakilan wanita yang kurang daripada 30% jumlah kesemua ahli dewan negeri dan ahli Parlimen. Ini bermakna bahawa tidak cukup wanita berada di meja utama membuat keputusan untuk mempengaruhi cara negara atau pelbagai negeri dikendalikan, atau bagaimana dasar dilaksanakan

·         jenaka dan komen tidak sesuai dibuat oleh ahli politik lelaki tertentu, yang mendedahkan ketidakupayaan mereka untuk mengambil serius kedudukan wanita atau menganggap mereka sama rata

Adakah apa-apa isu ini akan membuatkan para pengundi wanita berfikir secara berbeza tentang siapa yang akan mereka undi? Konservatisme serta sikap memandang rendah terhadap wanita dan penyisihan wanita daripada membuat keputusan politik adalah cukup membimbangkan dan tidak memberi petanda baik kepada negara.

Sikap ini wujud dalam kalangan ahli politik dalam kedua-dua kerajaan perpaduan dan juga parti gabungan PN.

Pengundi harus membangkitkan isu-isu ini, bersama-sama dengan isu-isu serius lain, contohnya cadangan regresif bagi meminda undang-undang kewarganegaraan sedia ada, apabila calon-calon datang mengetuk pintu mereka untuk mencari undi.


Kebijaksanaan para pengundi

Apabila kempen bermula, calon akan menampilkan usaha dan kejayaan kerajaan negeri dan parti politik mereka dalam mengalahkan parti lawan mereka.

Namun, para pengundi, lelaki dan wanita, perlu arif untuk mentafsir yang mana kaca atau permata. Mereka tidak sepatutnya menyerahkan undi mereka dengan sia-sia atau dengan hanya janji kosong. Ramai di antara kita sudah melaluinya banyak kali sebelum ini.

Kita boleh meneka-neka berapa banyak isu kaum dan agama yang akan dimainkan dan apakah jenis impaknya. Kita berkali-kali ditelagahkan antara satu sama lain oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan tidak berprinsip yang menggabungkan dan menunggang isu kaum dan agama dan menggunakannya sebagai seruan untuk mendapatkan sokongan.

Ini adalah strategi untuk mengalih perhatian orang ramai daripada isu-isu penting seperti tadbir urus yang lemah, rasuah, kos sara hidup yang meningkat, perumahan mampu milik yang tidak mencukupi dan kekurangan penjagaan kesihatan yang mampu dimiliki. Ia cukup tidak bertanggungjawab dan berbahaya kerana boleh membawa kepada keganasan dan ekstremisme agama. Adakah pengundi dapat melihat melalui semua gangguan ini?

Apabila pilihan raya semakin hampir, kita pastinya akan menerima lebihan maklumat di media sosial. Pengundi hanya akan diberi maklumat yang barangkali benar, separuh benar, berita palsu, ugutan atau hanya kekarutan.

Adakah pengundi akan terpalit dengan isu-isu sebegitu hanya untuk menyedari kemudiannya bahawa laporan itu adalah berita palsu? Namun, seringkali kerosakan itu sudah pun berlaku kerana persepsi tidak mudah diubah.

Kenyataan yang keterlaluan diikuti dengan permintaan maaf atau menyatakan bahawa sesuatu perkara telah diambil di luar konteks sudah cepat menjadi kebiasaan. Adakah pengundi dapat membezakan apa itu kebenaran dan fiksyen?

Kita semua, para pengundi dan calon, perlu berwaspada dan bertanggungjawab terhadap semua jenis maklumat yang kita kongsi, terutamanya semasa tempoh kempen.

Harapan untuk masa hadapan

Ya, ini ‘masa yang menjanjikan’ untuk negara kita sekali lagi. Sehinggalah pilihan raya diadakan dan keputusan akhir diketahui, spekulasi akan terus wujud.

Namun, warga di enam negeri ini harus kekal bertenang dan, yang penting, keluar untuk mengundi. Semoga calon-calon dan parti-parti terbaik diundi untuk meningkatkan peluang negara untuk berjaya dalam proses pemulihan yang tidak menentu ini.

Perjalanan penuh ranjau dan panjang menanti di hadapan.

Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
1 Julai 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama

1.     Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat

2.     Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar

3.     Raikan kerencaman dan keterangkuman

4.     Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang

5.     Lawan rasuah dan kronisme