Secara umumnya kita tentu boleh bersetuju dengan bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zin yang mengecam Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Tiong King Sing atas tindakannya menerjah KLIA bagi melepaskan seorang pelancong China adalah suatu perbuatan salah iaitu menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka.
Katanya, dakwaan menteri berkenaan tentang wujudnya amalan rasuah di kalangan kakitangan Imigresen di KLIA menimbulkan banyak syak wasangka di sebaliknya.
“Jika saya jadi pegawai imigresen tu saya akan warning menteri tu dua kali agar jangan ganggu kerja saya.
“Jika kali ketiga dia masih tidak dengar, saya akan tangkap dia atas kesalahan mengganggu tugas penjawat awam,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Bahri menggesa agar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengambil tindakan terhadap Tiong yang perbuatannya itu telah menjadi liabiliti kepada kerajaan.
Ya, daripada sudut itu memanglah ternampak ada kesalahan telah dilakukan oleh menteri berkenaan.
Cuba orang biasa yang melakukan demikian, senang-senang dah kena tangkap dan kemudian pastilah akan didakwa di mahkamah.
Pun begitu, di sudut yang lain, terjahan Tiong, walau atas apa alasan dan kecenderungan sekali pun, ada juga kesan baik daripadanya.
Daripada terjahan beliau yang menjadi kontroversi dan bualan dalam masyarakat itu, ia menyebabkan Anwar turut tergerak hati untuk melakukan lawatan mengejut ke KLIA juga.
Dalam lawatan mengejut Anwar itu, baru terdedah bahawa hanya satu mesin pengimbas kastam yang boleh beroperasi, manakala enam lagi mengalami kerosakan.
Bagaimana mesin pengimbas di sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa hanya ada satu saja yang boleh digunakan?
Enam yang tidak boleh digunakan itu pula entah-entah sudah lama mengalami kerosakannya dan dibiarkan begitu saja tidak dibaiki.
Mujur Anwar buat lawatan mengejut yang didorong oleh terjahan mengejut Tiong ke KLIA, maka akhirnya terdedahlah enam mesin pengimbas kastam yang tidak berfungsi itu.
Kalau Tiong tidak menyerbu KLIA, sudah pasti Anwar pun tidak tergerak hati nak buat lawatan mengejut ke lapangan terbang itu dan tanpa lawatan mengejut Perdana Menteri, pastilah tidak terdedah adanya kerosakan enam mesin pengimbas kastam itu.
Susulannya, sebagai satu lagi tindakan mengejut, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan segera mengumumkan kerosakan enam mesin pengimbas yang rosak sudah entah berapa lama itu akan mula dibaiki hari ini.
Katanya, urusan pembaikan itu melibatkan kos lebih RM1 juta.
Tengok…boleh pula cepat membaiki dan meluluskan peruntukan untuk membaikinya?
Kenapa selama ini ia dibiarkan rosak dan sampai enam sekali rosak, tetapi tiada mana-mana pihak yang tercelik mata dan terbuka hati untuk membaikinya?
Maka, dalam kita marah-marah kepada Tiong, kita rakyat Malaysia sewajarnya juga mengucapkan terima kasih kepada beliau, walaupun terjahannya ke KLIA baru-baru ini menimbulkan pelbagai spekulasi dan kecaman berkaitan maksud dan tujuannya berbuat demikian.
Oleh kerana KLIA sebuah kompleks yang besar dan macam-macam jabatan serta agensi kerajaan beroperasi di situ, ditambah pelbagai perniagaan turut berjalan 24 jam tanpa henti, sudah pasti bersamanya juga timbul seribu satu macam masalah pada setiap hari.
Jika dengan terjahan Tiong telah menyebabkan kerosakan enam daripada tujuh mesin pengimbas kastam terdedah dan kemudian dapat segera dibaiki, ertinya untuk memastikan KLIA benar-benar sempurna segala kemudahannya sepanjang masa agar sesuai dengan kedudukannya bertaraf dunia, elok rasanya kalau tiap-tiap menteri melakukan terjahan yang sama pada setiap bulan atau dua minggu sekali ke lapangan terbang tersebut
Jika itu dapat dilakukan, bukan saja tiada lagi mesin yang rosak dan semua kemudahan jadi sempurna, bahkan “orang-orang yang rosak” barangkali juga tidak akan kelihatan lagi di KLIA.
Lagi pula, bersesuaian dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa setiap menteri memang diberikan pas khas untuk memasuki mana-mana ruang di KLIA pada bila-bila masa, walaupun tidak menaiki mana-mana penerbangan, makna kata, jika menteri membuat terjahan di KLIA, ia adalah sesuatu yang dibenarkan dan bukan suatu kesalahan.
Cuma, untuk melakukan terjahan itu, janganlah menteri-menteri guna alasan yang sama iaitu untuk melepaskan pelancong dari China juga. – ShahbudinHusin 03/07/2023.