Kita tengok sama ada para ostat PAS ini anak jantan berani lawan
Baby Shima di Mahkamah atau mohon maaf macam MP Kuantan.
****************
Penyanyi lagu Berdiri Bulu Romaku, Baby Shima, memulakan langkah
awal untuk menyaman dua individu berkaitan PAS, termasuk seorang bekas peserta
realiti televisyen, PU Syed.
Seorang lagi yang dinamakan oleh artis terbabit ialah Ketua
Pemuda PAS Kuantan, Abd Rahman Mat Noor.
Peguam mewakili Baby Shima, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi
berkata dia memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kedua-dua
individu terbabit masing-masing di Mahkamah Tinggi Ipoh serta Mahkamah Tinggi
Kota Bharu.
Peguam itu berkata, ia difailkan di atas kausa tindakan saman
fitnah (defamation) dan kepalsuan berniat jahat (malicous falsehood).
“Setakat tarikh kenyataan ini, proses penyerahan kertas-kertas
kausa kepada individu-individu yang dinamakan di atas sedang dilaksanakan bagi
maksud memenuhi keperluan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini
Bagaimanapun, menurut Noor Azfar, pihak Baby Shima tidak
berhasrat untuk memberi komen lebih lanjut buat masa ini.
Langkah itu, katanya, diambil sebagai menghormati proses
mahkamah serta pihak yang dinamakan belum menerima kertas-kertas kausa yang
difailkan.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Baby Shima atau nama
sebenarnya Nor Ashima Ramli dituduh "menjual agama" selepas namanya
diumumkan sebagai artis undangan program Hari Bandaraya Mesra Komuniti di
Kuantan, Pahang yang kebetulan berlangsung pada hari sambutan Israk dan Mikraj.
Baby Shima antara lain didakwa bakal hadir untuk bergelek dengan
lagu dangdut.
Susulan itu, Ahli Parlimen Kuantan dari PAS, Wan Razali Wan Nor,
mendakwa pihaknya menghantar surat bantahan rasmi kepada Majlis Bandaraya
Kuantan agar menghentikan pembabitan Baby Shima.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Abdul Rosli Jabar, pula berkata sebagai
Adun Tanjung Lumpur dia tidak rela MBK membenarkan persembahan membabitkan Baby
Shima yang dianggap tidak mengikut garis-garis panduan Islam.
Sementara itu Abd Rahman mendakwa penyanyi dan pelakon terbabit
"menjual agama" kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis
tertentu.
Wan Razali - yang sebelum ini menarik perhatian ramai kerana
membangkitkan isu pakaian jururawat - kemudian tampil memohon maaf secara
terbuka kepada Baby Shima.
Wan Razali Wan Nor
PU Syed atau Syed Mohd Bakri Syed Ishak pula didakwa memfitnah
Baby Shima dengan menuduh artis berkenaan tidak mengerti soal halal dan haram
berhubung penganjuran sesuatu konsert.
Kata PU Syed, Baby Shima boleh terjerumus menjadi golongan
Ruwaibidhah.
Noor Azfar berkata pihaknya turut menerima arahan untuk
mengambil tindakan lanjut dalam masa terdekat terhadap beberapa individu dan
syarikat lain yang terlibat menyalahgunakan nama anak guam mereka bagi tujuan
komersial.
“Anak guam kami merizabkan haknya untuk meneruskan apa-apa
tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat mengikut lunas undang-undang
negara,” katanya.