JIKA AZMIN TIDAK LARI, TIGA DUN DALAM PARLIMEN GOMBAK AKAN JADI MEDAN PERTARUHAN TIGA KETUA PARTI

 

Kawasan Parlimen Gombak mungkin mencatat sejarah tersendiri daripada segi kemeriahannya pada PRN Selangor, 12 Ogos akan datang ini.

Dalam Parlimen tersebut, terdapat tiga kawasan Dun yang menjadi pertaruhan dalam PRN ini iaitu Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang.

Berdasarkan pengumuman calon-calon setakat ini, Dun Sungai Tua akan ditandingi oleh Menteri Besar sementara Selangor, Amirudin Shari yang juga Pengerusi PH dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor.

Beliau akan bertanding mewakili gabungan PH/BN dan kali ini adalah kali keempat beliau bertanding di Sungai Tua.

Dun Gombak Setia pula akan ditandingi oleh Megat Zulkarnain Omardin daripada BN, juga mewakili gabungan PH/BN.

Megat Zukarnaian ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor.

Beliau dijangka berdepan Hilman Idham, Adun sedia ada yang memenangi kerusi tersebut pada PRU14 atas tiket PKR, tetapi kemudian melompat menyertai Bersatu selepas peristiwa Langkah Sheraton.

Bagi Dun Hulu Kelang pula, gabungan PH/BN telah mengumumkan Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwariya Zulkifli sebagai calonnya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, sebelum ini adalah Adun Bukit Melawati dan kali ini dipindahkan untuk bertanding ke Hulu Kelang.

Dun Hulu Kelang sepatutnya merupakan kuota Amanah, tetapi berlaku pertukaran di saat-saat akhir dengan Dun Batu Tiga yang sebelum ini milik PKR kini diserahkan kepada Amanah.

Menjadi sebutan sejak kebelakangan ini bahawa Azmin Ali, Pengerusi PN Selangor akan bertanding di Dun Hulu Kelang.

Berikutan kalah di Parlimen Gombak kepada Amirudin dalam PRU15 November tahun lalu, Azmin diperkatakan ramai akan memilih Hulu Kelang untuk bertanding dalam misi PN untuk merampas negeri Selangor.

Selain itu, pilihannya bertanding di Hulu Kelang juga dikatakan kerana beliau pernah menjadi Adun kawasan itu sebelum ini serta rumah keluarganya juga terletak di situ.

Apa yang menarik di sini, jika tiada perubahan dan Azmin tidak melarikan diri daripada Hulu Kelang yang dikaitkan dengannya, bermakna tiga ketua parti akan bertanding dalam kawasan Parlimen Gombak pada PRN akan datang ini.

Azmin selaku Pengerusi PN Selangor di Hulu Kelang, Amiruddin yang merupakan Pengerusi PH dan PKR Selangor mempertahankan kerusinya di Sungai Tua serta Megat Zulkarnain, Pengerusi UMNO Selangor yang juga kalah di Parlimen Gombak pada PRU15 lalu, sekali lagi dicubakan nasibnya untuk bertanding di Gombak Setia pula.

Walau mereka bertanding di kerusi yang berbeza, situasi istimewa ini tidak pernah berlaku di mana-mana sebelum ini.

Siapa di antara mereka yang boleh menang dan siapa pula yang bakal kecundang?

Sementara Amiruddin dilihat selesa mempertahankan kerusinya di Sungai Tua – mampukah Azmin menang di Hulu Kelang berlawan dengan sekadar tokoh Wanita Keadilan dan begitu juga dengan Megat Zulkarnain, tercapaikah impiannya untuk bergelar YB pada kali ini?

Yang pasti, dengan tiga ketua parti dijangka mempertaruhkan nasib di tiga Dun berlainan dalam kawasan Parlimen Gombak, kemeriahan pesta kempen di kawasan itu kali ini dijangka lebih berganda serta paling menjadi tumpuan sekali. – ShahbudinHusin 23/07/2023.