DULU PECAH-BELAHKAN MELAYU DAN KINI PECAH-BELAHKAN MALAYSIA, TINDAKAN TEGAS SUDAH WAJAR DIAMBIL TERHADAP TUN MAHATHIR

 

Orang yang hilang kuasa kadang-kadang perangainya lebih kurang sama saja macam mereka yang putus cinta.

Mereka cenderung berkelakuan luar biasa, tidak dijangka dan berbeza dengan kebiasaan yang dilalui ketika cinta belum membawa luka.

Dalam kehidupan seharian, baik melalui pembacaan, tontotan, pengalaman sendiri atau kawan-kawan, kita tentu sudah biasa dengan mereka yang angau disebabkan putus cinta.

Tetapi, dalam politik dan konflik perebutan kuasa, meskipun terdapat juga kes-kes mereka yang angaunya lebih kurang sama dengan mereka yang putus cinta dan kita dapat menerima seadanya semua itu,!apa yang dipertontonkan kepada kita sejak Tun Mahathir Mohamad hilang kuasa dan hilang deposit dalam PRU15 lalu, barangkali lebih kronik lagi keadaannya.

Dalam erti kata lain, perlakuan setelah kalah dan hilang kuasa lebih dahsyat kalau dibandingkan dengan perlakuan mereka yang angau akibat putus cinta.

Ketika memegang jawatan Perdana Menteri, meskipun sebelum itu dijoloki dengan gelaran ultra Melayu, tetapi Tun Mahathir kemudiannya benar-benar menampilkan dirinya sebagai pemimpin negara yang berjiwa Malaysia.

Selain kerapkali menganjurkan kepada rakyat agar hidup harmoni dan bersatu padu, beliau juga sering mempertahankan keunikan kaum-kaum yang mampu hidup dengan aman damai di negara ini.

Bagaimanapun, di sebalik mempamerkan jiwa Malaysianya itu, beliau dilihat lebih dikelilingi tauke-tauke bukan Melayu ketika berada di puncak kuasanya.

Tauke-tauke tersebut – tanpa ingin menyebut nama mereka satu persatu – diberi banyak sekali peluang melalui perolehan kontrak kerajaan, lesen-lesen, pemilikan tanah dan sebagainya, bukan saja untuk menjadi kaya, bahkan melangkau sehingga mencapai status bilionaire.

Anak-anak beliau berjaya dalam perniagaan, bahkan ramai orang menyebut mereka juga berstatus bilionaire, sebahagiaannya dan tidak mustahil keseluruhannya, adalah disebabkan perkongsian berniaga dengan ahli perniagaan bukan Melayu.

Di dalam politik, meskipun pernah memimpin parti berteraskan Melayu iaitu UMNO dan Bersatu hingga berjaya menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali, sebahagian penyumbang kepada kesuksesan Tun Mahathir ialah dengan cara memecah-belahkan Melayu dan bergantung kepada sokongan bukan Melayu.

Ketika berbalah dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan UMNO 1987 dan ia berlarutan sehingga PRU tahun 1990 di mana sebelum itu Ku Li dipecat dan tidak dibenarkan menyertai UMNO Baru yang ditubuhkannya pada 1988, kemenangan BN pada PRU tahun tersebut adalah disebabkan sokongan yang diperolehi melalui parti-parti bukan Melayu yang mendokong kerajaan.

Kemudian pada tahun 1998 apabila Tun Mahathir memecat Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan membuangnya daripada UMNO, kemenangan BN pada PRU tahun 1999 juga adalah disebabkan undi dan sokongan pengundi bukan Melayu.

Sejarah telah mencatatkan bahawa pada PRU tahun 1990 disebabkan Tun Mahathir berbalah dengan Ku Li, BN telah hilang Kelantan dan pada PRU tahun 1999, akibat beliau memecat Anwar, BN hilang negeri Terengganu.

Jika tanpa sokongan undi bukan Melayu, kalau pun tidak “belayar malam”, kedudukan kuasa Tun Mahathir ketika itu pasti hanya tinggal nyawa-nyawa ikan.

Menjelang PRU14, disebabkan ingin menjatuhkan Najib Razak, Tun Mahathir kali ini memecat pula dirinya sendiri daripada UMNO bagi tujuan memecahkankan parti itu, lalu menubuhkan Bersatu yang kemudian mendorongnya “merangkak” mencari Anwar di mahkamah bagi membolehkan beliau bekerjasama dengan PH.

Untuk kali kedua, Tun Mahathir akhirnya berjaya menjadi Perdana Menteri sekali lagi, tetapi harus diingat, kejayaannya itu juga dicapai dengan cara menjadikan UMNO dan pengundi Melayu berpecah, lalu bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu dan juga DAP.

Disebabkan kerakusan ingin kekal berkuasa itulah yang menjadikan orang Melayu berpecah dalam banyak parti seperti Semangat 46, PKR dan Bersatu.

Melihat semua peristiwa itu dan membandingkan dengan perlakuan Tun Mahathir hari ini, tidak sukar menyimpulkan bahawa semua gerak laku dan gerak fikir beliau sekarang adalah disebabkan hilang kuasa dan hilang deposit, ditambah lagi kerana Anwar yang menjadi Perdana Menteri ketika ini adalah musuh nombor satu dalam sisa-sisa nafasnya yang makin menua.

Tun Mahathir kini tiada pilihan lain selain memainkan sentimen Melayu dan Tanah Melayu ini milik orang Melayu serta menanamkan kebencian agar orang Melayu membenci bukan Melayu sebagai pendatang semata-mata kerana terdesak ingin kekal relevan bersama harapan agar usahanya menjatuhkan Anwar berakhir dengan kejayaan.

Soalnya, kenapa baru sekarang Tun Mahathir mahu membenci bukan Melayu dan mempertikaikan keberadaan mereka di negara ini?

Kenapa ketika disokong oleh bukan Melayu sehingga berjaya kekal sebagai Perdana Menteri dalam PRU tahun 1990 dan 1999 serta ketika disokong sekali lagi oleh bukan Melayu dan DAP untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018, semua perkara itu tidak berbangkit?

Kalau hari ini beliau begitu mempertikaikan keberadaan dan tingkah laku orang bukan Melayu, mengapa ketika berpeluang berkuasa selama hampir 24 tahun sebagai Perdana Menteri, tiada sebarang usaha positif dilakukannya?

Bahkan, kenapa beliau melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan pada 2018, meski ketika itu Mahiaddin Md Yasin begitu mengidamkan jawatan tersebut dan hampir-hampir merajuk kerana kecewa?

Apa yang nyata, melihat dan meneliti tulisan-tulisan Tun Mahathir di media sosial akhir-akhir ini mengenai Melayu dan keberadaan bukan Melayu di negara ini, tidak diragui lagi beliau kini sudah melangkaui garis merah yang merbahaya kepada masa depan Malaysia.

Sekaligus, ia turut memperlihatkan beliau tiada lagi ciri-ciri seorang negarawan yang patut dihormati.

Jika dulu strateginya ialah memecah-belahkan Melayu kerana ingin kekal berkuasa dan beroleh kuasa, beliau kini nampaknya sedang di laluan untuk menghancurkan negara ini dengan tulisan-tulisan yang mengajak kepada perpecahan, kebencian serta permusuhan antara kaum.

Jika ini dibiarkan berterusan, Malaysia yang aman harmoni dengan kemajmukan dan kepelbagaian ini pasti akan hancur akhirnya.

Dalam hal ini, terlanjur kerajaan mahu mengemaskini Akta Hasutan dengan menjadikannya hanya berperanan melindungi Raja-Raja Melayu, elok rasanya ia dimasukkan sekali bagi tujuan melindungi perpaduan dan keharmonian berpanjangan di Malaysia ini.

Hakikatnya, walaupun negara ini berbilang kaum, semua mereka dengan harmoni dan senang hati menerima kedudukan Yang Dipertuan Agong selaku ketua negara.

Apa-apa unsur yang bertujuan menggugat semua yang harmoni di bawah payung baginda itu adalah juga bermaksud menggugat keselamatan dan masa depan negara.

Anwar selaku ketua kerajaan ada tanggungjawab besar untuk menghentikan semua elemen yang boleh menjurus kepada kemusnahan itu dan beliau wajar bertindak segera sebelum keadaan jadi parah serta tidak terkawal lagi. – ShahbudinHusin 28/07/2023.