Pas dicabar berkongsi kad laporan prestasi pentadbiran mereka sepanjang menerajui tiga negeri dan tidak hanya mendabik dada di atas pembangunan dan kebajikan yang tidak seberapa.
Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menegaskan negeri yang sebelum ini diterajui Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sudah mengeluarkan kad laporan susulan pembubaran DUN masing-masing.
Justeru negeri ditadbir Pas tegasnya wajar mendedahkan kad laporan mereka supaya dapat dinilai oleh rakyat.
"Hari ini saya minta negeri ditadbir oleh parti ini (PN), tolong tunjukkan kad prestasi, apakah pencapaian kamu? 32 tahun pimpin pun bekalan air bersih masih tak dapat selesai," katanya dipetik.
Beliau turut mengambil contoh pentadbiran Selangor, selain pembangunan kerajaan ditadbir PH menyediakan pelbagai insentif dan bantuan untuk kebajikan rakyatnya.
"Bayi baru lahir pun dapat (insentif), meninggal (dunia) pun dapat (insentif), air percuma, biasiswa, membeli belah semasa perayaan, bas percuma, internet percuma, semua Selangor bagi.
"Apa Kelantan, Kedah bagi?," soalnya pada sidang media khas mengenai Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja di Putrajaya pada Jumaat.
Dalam sidang media sama Nga yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, menolak dakwaan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Amar Nik Abdullah yang berkata negeri itu bukan “tidak maju” seperti didakwa pengkritik kerana ia sudah mempunyai Aeon Mall di sana.
"Ada pula seorang pemimpin yang kononnya bakal Menteri Besar, dan dia kata Kelantan ada pembangunan. Buktinya ada pusat beli belah di Kota Bharu.
"Pusat beli belah ini dibina kerajaan atau syarikat? Bagi saya ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," katanya.