Oleh: Noraini Nordin
Lapan calon wanita yang diletakkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini biar pun menghadapi persaingan sengit 'faktor boleh menang' menentang barisan calon handalan Perikatan Nasional adalah merupakan satu penghormatan kepada Wanita KEADILAN.
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin berkata, dengan menurunkan calon wanita tersebut memperlihatkan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah meminggirkan Wanita KEADILAN dan berusaha sebaiknya memberi peluang kepada mereka dalam keadaan paling sukar sekali pun.
Khususnya, kata beliau di Negeri Sembilan yang mana dua daripada enam calonnya adalah wanita.
"Dalam PRN kali ini dua calon wanita dari Negeri Sembilan ditampilkan
"Kepercayaan ini adalah peluang yang sangat bernilai kerana daripada enam calon KEADILAN yang bertanding, dua daripadanya adalah wanita.
"Mereka ialah Tengku Zamrah Tengku Sulaiman bagi kerusi DUN Ampangan dan Noorzunita Begum Mohd Ibrahim di DUN Pilah.
"Meletakkan dua calon wanita daripada enam calon di Negeri Sembilan adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi Wanita KEADILAN seluruhnya kerana dalam Pilihan Raya Umum ke 14 lalu, tiada calon wanita diberi peluang bertanding di negeri tersebut," kata Noraini dalam kenyataan hari ini.
Manakala dalam konteks lima lagi negeri pula, kata Pemangku Ketua Penerangan wanita KEADILAN Pusat itu, calon wanita tetap dibenarkan menggalas cabaran besar di DUN di mana ditempatkan mereka.
Katanya enam calon wanita yang lain adalah Sabrina Ahmad (DUN Jitra, Kedah), Nurhidayah Che Rose (DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang), Naziratul Aini Muhamad Sayuti (DUN Pasir Tumboh, Kelantan), Juwairiya Zulkifli (DUN Hulu Kelang, Selangor), Pua Pei Ling (DUN Bukit Lanjan, Selangor) dan Erny Afrishah Azizi (DUN Sementa, Selangor).
"Atas kepercayaan yang diberikan oleh parti kali ini, Wanita KEADILAN berazam untuk bekerja bersungguh-sungguh dan mengerah keringat sehabis baik bagi memastikan kemenangan dapat digenggam dan harapan pucuk pimpinan tidak dikecewakan.
"Bagi Wanita KEADILAN kepercayaan dalam mengenengahkan calon-calon wanita ini adalah hadiah daripada pucuk pimpinan KEADILAN khususnya Presiden yang juga Perdana Menteri sendiri," katanya lagi.
KEADILAN meletakkan calon wanita agak terhad memandangkan PN dijangka meletakkan banyak calon berlatarbelakangkan agama dan naratif kempen yang dimainkan terlalu berunsur perkauman.