Menjadi bualan ramai di alam maya dan alam nyata sejak semalam tentang gurauan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kepada seorang pelajar perempuan dalam program “Temu Anwar” di Nilai, Negeri Sembilan.
Ramai juga rakan dan kenalan menghubungi saya untuk bertanyakan perkara yang sama.
Dalam gurauannya selepas pelajar berkenaan, yang dikenali sebagai Adriana yang dengan petah bertanyakan soalan kepadanya, Anwar berkata – “Jika saya lebih muda, saya akan meminta nombor telefon anda.”
Anwar kemudian berkata, beliau hanya bergurau sambil memberitahu isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menonton siaran langsung tersebut.
Salahkah Anwar bergurau demikian?
Bergurau sedemikian dalam acara sosial di depan dua tiga kenalan barangkali masih boleh diterima dan difahami sekadar suka-suka serta modal untuk ketawa, tetapi melakukannya di depan ribuan hadirin, di pentas terbuka yang disiarkan secara langsung dan pelakunya pula seorang Perdana Menteri, ia memang tidak wajar dan tidak manis sama sekali.
Seorang Perdana Menteri adalah ketua kerajaan dan dalam acara sedemikian, Anwar harus menunjukkan watak seorang pemimpin yang serius terhadap tugas serta tanggungjawabnya dan menjawab soalan yang ditanyakan tanpa melencong kepada apa juga maksud lain.
Beliau boleh bergurau, tetapi hendaklah bergurau dengan matang dan tidak bersifat seksis atau seperti ada keinginan lain dalam jiwa yang ingin dipenuhinya.
Perdana Menteri mesti fokus dan serius kerana yang hadir hanya ingin mendengar jawapan, idea dan wawasannya tentang negara ini.
Seorang orang politik pula berkata, dalam keadaan OPR naik, ringgit jatuh teruk dan rakyat mengeluh macam-macam, bagaimana Anwar masih boleh bergurau seperti itu?
Lagi pula, dalam usia melebihi 76 tahun dan anak-anak muda yang hadir dalam program “Temu Anwar” itu lebih umpama anak serta cucunya, gurauan yang memperlihatkan kegatalan lebih menampakkan kejengkelan daripada untuk menghiburkan.
Yang berada dalam program itu pun hadir bukan untuk mendengar Perdana Menteri melakukan gurauan, tetapi mahu mendengar idea dan pemikiran daripadanya.
Kalau mahu ketawa dan berhibur, sudah tentu pilihan mereka ialah menonton lawak jenaka Sepahtu atau sitcom komedi yang lain.
Najib Razak dan Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Perdana Menteri, usia kedua-duanya jauh lebih muda daripada Anwar, namun tidak pernah kita mendengar atau melihat mereka bergurau seperti itu kepada kaum wanita di mana-mana program sekali pun.
Apa yang tidak manis lagi ialah ini bukan kali pertama Anwar cuba bergurau seperti itu dalam acara bersama anak-anak muda.
Dalam program bersama anak-anak muda yang dihostkan oleh artis Amelia Henderson di KLCC tidak lama sebelum ini, Anwar juga didapati melakukan gurauan yang hampir sama maksudnya.
Sebaik Amelia yang cantik manis itu bertanyakan soalan kepadanya, Anwar berkata – “Bila Amelia tanya soalan, saya perhati dia, saya lupa soalan”.
Anwar kemudian berkata, bellau hanya bergurau dan memaklumkan Dr Wan Azizah sedang menonton program berkenaan.
Adakah setelah dua kali bergurau dengan memperlihatkan kecenderungan yang sama, Anwar boleh dinilai benar-benar bergurau?
Selain itu, Anwar juga dikenali sebagai tokoh pejuang Islam yang dikenali di dalam dan luar negara sejak sekian lama, dengan cop paling melekat di kepala setiap kita ialah sebagai bekas Presiden Abim.
Kerana ketokohannya juga, beberapa ulama dan tokoh Islam besar dunia telah datang ke negara ini, antaranya Habib Umar, Dr Ali Juma’ah dan ramai lagi.
Malah, jika Yusof Al-Qardawi masih hidup ketika ini, sudah pasti beliau menjadi ulama besar yang pertama datang ke Malaysia untuk meraikan menjadinya Anwar sebagai Perdana Menteri.
Maknanya, Anwar adalah seorang yang hebat serta tiada tandingan dari segi pengaruh, ketokohan dan kenalannya di kalangan ulama dan ilmuan Islam di seluruh dunia.
Bak kata orang Indonesia – tidak pantas begitu Pak perilaku seorang tokoh Islam yang dikenali seantero dunia.
Tulisan ini bukanlah suatu kritikan atau serangan yang bermaksud tidak baik kepada Anwar, tetapi lebih berupa teguran membina kepadanya agar di lain masa lebih berhati-hati jika ingin mengusik dan bergurau senda, terutama kepada golongan wanita.
Lebih-lebih lagi sebagai Perdana Menteri yang ada imej Islam melekat kukuh pada dirinya, sikap berhati-hati itu sepatutnya menjadi pendinding utama kepada Anwar ketika ini. – ShahbudinHusin 26/06/2023.