Rafizi saran N Sembilan perluas sektor pertanian, penternakan
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyarankan Kerajaan Negeri Sembilan memperluaskan sektor pertanian dan penternakan modennya bagi merancak pembangunan ekonomi sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Selain daripada pertanian moden, bidang penternakan di sini juga mempunyai potensi yang perlu dikembangkan. Permintaan tinggi adalah bekalan daging.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bekerjasama dalam aspek penyediaan tapak dan beberapa bantuan lain. Saya berharap projek berkaitan dengan pertanian dan penternakan ini akan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata begitu pada Majlis Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) (KSP RMKe-12) Peringkat Negeri Sembilan yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, di Port Dickson semalam.
Dalam ucapannya Rafizi turut menyarankan Kerajaan Negeri meneroka dua sektor lain iaitu tenaga baharu dan digital bagi meningkatkan pendapatan ekonomi negeri.
Negeri Sembilan jelasnya mempunyai kelebihan berbanding negeri lain kerana kedudukannya yang strategik berdekatan Lembah Klang.
“Tumpuan berterusan adalah dalam sektor tenaga baharu dan digital kerana (ia dijangka menjadi) pelaburan paling tinggi di dunia bagi tempoh setahun atau dua tahun akan datang,” kata Rafizi.
Sementara itu, Aminuddin berkata Kerajaan Negeri komited melahirkan usahawan dalam bidang pertanian berteknologi tinggi dalam usaha menjadi pengeluar makanan.
“Dalam tempoh enam bulan hingga setahun ini kerajaan negeri dapat memperbanyakkan pemain industri dalam sektor pertanian moden. Kerajaan Negeri telah mengenal pasti tapak yang sesuai di Rembau,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.