‘Nak perintah Kedah, program Aidiladha pun kelam kabut’
Rakyat Kedah yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos ini digalakkan menilai prestasi kerajaan Pas-PN Kedah yang ketika ini kelam kabut dalam menyusun program sempena sambutan Hari Raya Aidiladha minggu hadapan.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar, kerajaan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini telah merancang program Sayangi Kedah Sejahtera pada 22 Jun – 28 Jun, namun kemudian diumumkan program lain pula mengisi slot waktu sama diadakan tanpa sebarang penjelasan.
“Pada 22 Jun ada satu program yang mulanya dicanang sebagai Festival Sayangi Kedah Sejahtera.
“Bermula 22 hingga 28 Jun, menjelang sehari sebelum Raya Haji. Bermakna dia akan berakhir pada hari wukuf. Hari ke sembilan Zulhijah di Malaysia.
“Program itu akan ada forum perdana, akan ada program berkaitan anak muda dan sebagainya.
“Tiba tiba sekarang keluar satu lagi program, pada tarikh sama, tempat sama iaitu di perkarangan Stadium Darul Aman, program berkaitan Ekspo Produk Halal Malaysia Negeri Kedah, Edisi Khas Aidiladha.
“Ini satu yang sangat mengejutkan kita semua. Tarikhnya sama iaitu 22 – 28 Jun,” katanya dalam satu siaran media.
Mahfuz yang juga Pengerusi Bersama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Kedah itu berkata, pertindihan program tersebut menunjukkan betapa kelam kabutnya Perikatan Nasional Kedah melihat kebangkitan rakyat dan cuba mengadakan program yang bersesuaian dengan rentak kempen PRN menjelang bulan Julai.
“Bagi saya hal ini menggambarkan bagaimana nak merancang program sebegini pun kita lihat kelam kabut kepimpinan kerajaan Kedah.
“Forum orang yang sama berkaitan produk halal, sama dengan cadangan asalnya forum Sayangi Kedah Sejahtera dengan program tak berubah daripada cadangan awal dan terkemudian.
“Jadi saya fikir rakyat boleh menilai betapa tiada perancangan yang rapi dalam nak melaksanakan program (oleh kerajaan Pas Kedah),” katanya.
Kelam kabut itu, menurut Mahfuz perlu difikirkan secara matang oleh pengundi sebelum membuang undi pada PRN.
Katanya, jika untuk membuat program seminggu pun pentadbiran Sanusi menghadapi masalah apatah lagi jika diundi semula dan mentadbir negeri untuk 5 tahun ke hadapan.
“Kepada rakyat negeri Kedah peristiwa ini melihat betapa kelam kabutnya Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Sanusi Mohd Nor.
“Untuk buat program seminggu saja pun kelam kabut, macam mana nak rancang (pembangunan) Kedah untuk tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.
Tegas Mahfuz, rakyat perlu teguh berpegang kepada cogankata ‘Kalih Bagi Sama’ Kerajaan Perpaduan menjelang hari mengundi bagi mengelakkan kelemahan berterusan kerajaan PN menghantui Kedah untuk 5 tahun akan datang.