KEADILAN Terengganu optimis parti itu mempunyai potensi untuk
menang di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri
(PRN) akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu dan Kelantan,
Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keyakinan tersebut berdasarkan rekod prestasi,
faktor demografi serta tinjauan dan penyelidikan pihaknya.
Ia termasuk sejarah kemenangan parti itu di kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Bandar sebelum ini apabila turun bersama Pas dalam pilihanraya dan
kali ini bersama rakan gabungan BN.
"Jadi kita minta supaya KEADILAN diambil serius oleh
sahabat-sahabat dalam Barisan Nasional (BN). Kita pun ada sejarah di Terengganu,
dari awal ditubuhkan kita ada kerusi. Bagi kita penting untuk kita ada
kehadiran di sini.
"Bagi saya, KEADILAN ada beberapa kelebihan secara amnya,
saya tidak boleh sebutkan secara terperinci tapi contohnya di DUN Bandar,
pernah menang (2013-2018). Biasanya kerusi KEADILAN ni kerusi agak urban... itu
kita rasa kekuatan KEADILAN," katanya dipetik.
Nik Nazmi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Temu
Mesra di Pejabat KEADILAN Cabang Kuala Terengganu pada Ahad.
Sementara itu Nik Nazmi yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata,
persoalan siapa yang mendapa) banyak atau sedikit kerusi untuk bertanding PRN
tidak sepatutnya timbul. Sebaliknya perkara yang penting ialah parti yang
mewakili Kerajaan Perpaduan mesti berpeluang untuk menang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, BN menang 10 daripada 32 kerusi DUN
Terengganu manakala bakinya, iaitu 22 kerusi dikuasai Pas.