Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil
tindakan lebih tegas terhadap penyebaran sebarang bentuk fitnah di media sosial
terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil (KKD) berkata
selain memastikan penguatkuasaan lebih tegas pihaknya turut mengadakan
pertemuan dengan penyedia perkhidmatan media sosial, termasuk Telegram dan
TikTok dalam mengekang fitnah.
“Kita mengadakan pertemuan dengan TikTok pada hujung tahun lalu
dan awal tahun ini, selain pertemuan dengan pihak Telegram baru-baru ini (19
Jun).
“Alhamdulillah kerjasama dengan penyedia perkhidmatan media sosial
setakat ini sangat baik. Selain itu, kita juga melihat ada keperluan untuk
melakukan pertemuan dengan Meta.
“Kerjasama yang baik antara polis, SKMM serta penyedia platform
perkhidmatan media sosial amat penting bukan sahaja untuk mengekang fitnah
tetapi untuk memastikan ia tidak disalah guna,” katanya.
Fahmi berkata begitu pada sidang media selepas program
pra-pelancaran komuniti Madani di Dewan Wawa di Kota Bahru pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, terdapat keperluan untuk meneliti
pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia agar SKMM mempunyai lebih kuasa dalam
isu berkaitan.
Hal itu jelasnya bagi memastikan tidak berlaku provokasi atau
fitnah membabitkan elemen 3R (“race, religion, royalty”) selain menghalang
agama dan institusi raja-raja dipolitik dan diperolokkan.
“Kita lihat fitnah serta maklumat yang salah ini akan membina
persepsi buruk selain tohmahan terutama membabitkan elemen 3R perlu dikekang.
Selain menangani fitnah, perkara ini juga perlu untuk mengekang salah guna
jenayah siber.
“Saya berharap perkara ini dapat dilakukan menjelang hujung tahun
ini,” tambahnya.