Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah terkawal demi
memastikan aliran wang ke dalam ekonomi Malaysia adalah pada tahap yang
optimum, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Timbalan Presiden KEADILAN itu menegaskan langkah Bank Negara
Malaysia (BNM) menaikkan OPR kepada 3.00 peratus berbanding 2.75 peratus
sebelumnya adalah berdasarkan tanggungjawab untuk pertumbuhan ekonomi jangka
masa panjang dan tidak ada sebarang campur tangan politik.
Mengenai keputusan itu, kerajaan katanya harus menghormati budi
bicara bank pusat itu untuk menentukan polisi kewangan yang terbaik dengan
situasi ekonomi negara.
"Saya pernah sebut sebelum ini, kalau orang politik mempunyai
kebebasan penuh untuk menentukan OPR, maka senanglah (kerajaan) nak pinjam
duit.
"Sebab itu BNM diberi tanggungjawab melihat kesan-kesan ini
dan melaksanakan tindakan yang perlu.
"Cuma kita juga berhati-hati untuk menghormati (budi bicara)
dan perlu ada timbang tara dari segi penetapan kadar OPR atau kesan sebenarnya
untuk mengawal aliran wang ke dalam ekonomi," kata Rafizi pada Majlis
Sambutan Aidilfitri Kementerian Ekonomi di Putrajaya.
Mengulas lanjut mengenai keputusan BNM itu beliau menjelaskan, ia
adalah tindakan awal sebagai persediaan untuk berdepan dengan kemungkinan Rizab
Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat.
"Kerana ia bukan soal inflasi semata-mata, ia juga soal
kemasukan wang ke negara ini. Jurang kadar OPR kita dengan Amerika Syarikat dan
negera serantau masih besar iaitu antara 2 peratus.
"Jadi kalau Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah mereka
dalam masa terdekat, jika tidak ditangani dengan baik, itu akan menyebabkan
dana atau portfolio pelaburan keluar dari Malaysia ke negara-negara lain,"
tambahnya.
Rafizi turut mengingatkan bahawa ekonomi global ketika ini sudah
beralih kepada situasi seperti sebelum pandemik, sekiranya OPR tidak dinaikkan,
ia berisiko menyebabkan pelaburan tidak masuk ke Malaysia.
Situasi itu jelasnya akan menyebabkan mata wang negara terus
melemah yang natijah dari keadaaan itu boleh melonjakkan harga barangan
keperluan rakyat.