KECUT SELEPAS DICABAR ANWAR, BERSATU AKHIRNYA MENGAKU ANGKA 126


Bersatu akhirnya angkat tangan mengaku kalah serta sedar daripada mimpi tentang ketidakmampuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata, kerajaan pimpinan Anwar cukup kukuh kedudukannya kerana mempunyai 148 sokongan Ahli Parlimen.


“Sangat sukar untuk pihak pembangkang mengatasi jumlah itu, ia bukanlah satu perkara mudah,” ujar beliau.


Begitu pun, untuk menutup malu atas ketidakmampuan yang digembar-gemburkan sejak minggu-minggu kebelakangan ini, beliau menyalahkan Anwar kerana memberi respon terhadap perkara tersebut yang kemudian mencabar blok pembangkang agar mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen jika benar mereka sudah mempunyai angka.


“Kenapa Anwar perlu memikirkan khabar angin atau gossip kecil di luar gelanggang?


“Sepatutnya beliau tidak perlu fikir berapa angka yang pihak pembangkang ada sebab kerajaan pimpinannya sudah cukup kukuh iaitu mempunyai 148 kerusi,” tambah Razali lagi.


Ehh…ehh…tetiba nak salahkan Anwar pula?


Kepada Ketua Penerangan Bersatu yang baru memegang jawatan tersebut, ingin ditanya – apakah isu menjatuhkan kerajaan hanya sekadar gossip kecil di luar gelanggang, sedangkan yang menghebohkan angka 126 sebelum ini adalah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sendiri?


Tidak cukup dengan itu, seorang Naib Presiden Bersatu pula dilihat begitu galak menulis pelbagai persepsi mengenai kejatuhan Perdana Menteri di media sosialnya sejak seminggu yang lalu.


Isu kecil di kuar gelanggangkah jika pimpinan kanan Bersatu sendiri turut jadi stim untuk menukar kerajaan?


Dengan itu, ia sebenarnya bukanlah gossip kecil di luar gelanggang, tetapi secara sedar memang dicetuskan oleh Bersatu.


Makanya, tindakan Anwar memberi respon adalah wajar dan munasabah, malah memperlihatkan beliau seorang Perdana Menteri yang peka, berani serta proaktif, tidak seperti PM8 yang “sejuk” dalam banyak perkara ketika memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini.


Mujur jugalah Anwar pantas mencabar agar bertempur di Parlimen jika ingin menumbangkannya, maka rakyat seluruh negara dengan cepat akhirnya mengetahui angka 126 dan gembar-gembur akan berlaku pertukaran kerajaan itu hanyalah palsu dan auta belaka.


Kalau tidak dicabar Anwar, agaknya berminggu dan berbulan lagi angka 126 itu terus dijaja sebagai modal untuk mencetuskan ketidakstabilan, seterusnya sebagai modal bagi sesetengah pimpinan parti itu berangan-angan dan bermimpi kembali menjadi kerajaan dan dapat kembali jadi menteri semula.


Apabila dicabar Anwar dan sedar angka itu hanya sekadar auta, terkedu dan kecutlah mereka sekarang ini.


Lagi pun, kalau ikut logiknya, daripada 74 Ahli Parlimen yang ada bersama bersama PN ketika ini, entahlah dalam mimpi apa mereka boleh dapat angka 126 itu.


Dengan jumlah 126 yang dihebohkan, ia bermakna berlaku pertambahan seramai 52 iaitu seramai 52 Ahli Parlimen yang menyokong Anwar dan kerajaan perpaduan sekarang beralih menyokong PN yang sedia memiliki 74 Ahli Parlimen.


Daripada parti mana dalam blok kerajaan merekq nak dapat angka 52 itu?


Mudah kata, ini sebenarnya bukan lagi bermimpi di siang hari, tetapi mengigau kerana jiwa kacau, lalu meracau angka yang entah apa-apa.


Kalau sudah tahu sokongan kerajaan ada 148 Ahli Parlimen dan tiada kemampuan untuk PN berbuat sesuatu yang luar biasa mengubah angka yang mereka miliki, lebih baik duduk sajalah diam-diam dan buat kerja lain yang lebih berfaedah.


Kan sekarang dah malu sendiri? – ShahbudinHusin 08/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/