Kalau ikut logiknya, sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan tidak harus dilayan lagi sekarang ini.
Ini kerana, pertama, Anwar Ibrahim yang memimpin kerajaan perpaduan sebagaimana dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong, telah mempunyai sokongan majoriti yang cukup kukuh iaitu 148 daripada 222 Ahli Parlimen.
Dengan jumlah sokongan 148 Ahli Parlimen itu bererti kerajaan perpaduan ini memiliki majoriti dua pertiga sokongan di Parlimen.
Memang tak logik sama sekali jika kedudukan majoriti sedemikian kukuh masih lagi mahu digugat atau diterbalikkan.
Apa lagi, yang bising-bising mahu menjatuhkan kerajaan itu hanyalah pihak di luar kerajaan, termasuk kelompok yang kalah teruk sehingga hilang deposit pada PRU15 lalu.
Tetapi, malangnya tidak terdengar sama sekali ada Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang mahu menarik sokongan atau tidak puas hati terhadap kepimpinan Anwar.
Jika demikian, bagaimana blok pembangkang PN yang mempunyai 74 Ahli Parlimen mampu menambah bilangan sokongan mereka kepada sekurang-kurangnya 112?
Yang kedua, sebaik saja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu, perkara pertama yang dilakukan Anwar ialah mengumumkan agar usul percaya terhadapnya dibentangkan di Parlimen pada 19 Disember 2022.
Dalam undian yang diadakan pada tarikh tersebut, sokongan terhadap Anwar ternyata kukuh di mana blok pembangkang tidak berani sama sekali menentang usul percaya itu.
Mahiaddin Md Yasin yang mendakwa dirinya mempunyai cukup sokongan sebelum itu juga tidak berani menonjolkan dirinya untuk diundi berlawan dengan Anwar.
Walaupun kemenangan hanya melalui undian suara berikutan blok pembangkang “tiada telur” untuk menamakan sesiapa sebagai pencabar, jumlah Ahli Parlimen menyokong Anwar kemudiannya dibuktikan berjumlah 148 orang.
Dengan dua perkara di atas, sebenarnya tidak perlu lagi dilayan sebarang cubaan untuk menukar kerajaan.
Sudah sah lagi nyata Anwar memiliki sokongan majoriti yang kukuh sebagai Perdana Menteri.
Takkan setelah disahkan di Parlimen pun masih lagi berbangkit isu mahu menjatuhkan beliau?
Hakikatnya, peluang sudah pun diberi tetapi mereka tiada keberanian untuk mencabar kedudukan Anwar.
Cukuplah sekali saja peluang itu diberikan dan selebihnya, tugas Ahli Parlimen seharusnya ditumpukan bersama memastikan negara negara dapat ditadbir dengan baik.
Jika tiap kali sidang Parlimen perlu dibentangkan usul percaya/tidak percaya, apakah kerja dan peranan Ahli-Ahli Parlimen hanya untuk menukar kerajaan saja?
Tetapi dengan Anwar sendiri tampil mencabar blok pembangkang agar membawa usul menjatuhkannya ke Parlimen jika benar Hamzah Zainuddin, calon yang dinamakan untuk menggantikannya sudah mempunyai cukup nombor, ia tidak lain membuktikan beliau seorang Perdana Menteri yang benar-benar berani dan punya jiwa “gentleman” sejati.
Jauh daripada sifat pengecut sehingga tergamak mendaruratkan Parlimen sebagaimana dilakukan Mahiaddin sebelum ini, Anwar sebaliknya mahu pertarungan secara anak jantan dilakukan di tempat yang paling berwibawa iaitu Parlimen bagi menentukan keabsahan seorang Perdana Menteri.
Yang menarik lagi, beliau sedia diuji buat kali kedua, walhal sudah pun memenangi usul percaya sebelum ini.
Maka melalui cabaran Anwar ini, inilah masanya bagi PN secara bersendirian atau bergabung dengan Tun Mahathir Mohamad yang hilang deposit untuk membuktikan dan menyahut cabaran Perdana Menteri itu.
Oleh kerana Parlimen akan bersidang pada bulan Jun, PN mesti menggunakan tempoh masa yang ada ini untuk bekerja keras mengumpul sokongan yang diperlukan untuk menumbangkan kerajaan.
Kalau benar kononnya sudah ada 126 Ahli Parlimen menyokong, buktikanlah di Parimen nanti dan jangan berdalih macam-macam lagi.
Jangan sembang saja, tapi bila sampai masanya habuk pun tiada.
Selepas sidang Parlimen Jun nanti, jika PN gagal membuktikan mereka memiliki nombor yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan, sebarang cubaan menukar kerajaan selepas itu tidak harus dilayan lagi.
Mereka secara moral dan perundangan tidak berhak lagi bercakap untuk menukar atau menjatuhkan kerajaan.
Jika berjaya melepasi usul pada Jun nanti, kerajaan pimpinan Anwar secara mutlak telah dua kali disahkan majoriti dan keabsahannya untuk memimpin negara sehingga PRU16 akan datang.
Mana nak cari ada Perdana Menteri yang berani sampai dua kali diuji keabsahannya di Parlimen dalam tempoh tidak sampai setahun?
Takkan nak diuji lagi buat kali ketiga atau setiap kali sidang Parlimen nak dibawa usul menjatuhkan Perdana Menteri?
Anwar pun selepas Jun nanti janganlah buang masa lagi melayan royanan mereka yang tak habis-habis kemaruk kuasa mahu menjatuhkannya, malah patut mentertawakan saja mereka yang bernafsu besar tapi sebenarnya tiada upaya itu. – ShahbufinHusin 05/05/2023.
https://shahbudindotcom.net/