Selepas dipecat sebagai Timbalan Presiden UMNO dan dihalau
daripada parti itu pada 1998, tarikh 7 Februari lalu adalah detik bersejarah
bagi Anwar Ibrahim kerana buat pertama kali dapat menjejakkan kakinya semula ke
Bangunan UMNO di Menara Dato’ Onn, WTCKL.
Beliau hadir ketika itu untuk mempengerusikan mesyuarat sulung
Seketariat Kerajaan Perpaduan yang melibatkan wakil parti-parti yang berada
dalam kerajaan perpaduan.
Siapa sangka ketika Tun Mahathir Mohamad memecat beliau 25 tahun
lalu dengan tujuan untuk menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri, tetapi
akhirnya, selain dapat menjejakkan kaki semula ke Bangunan UMNO yang penuh
kenangan itu, lebih manis lagi kerana kembalinya Anwar kali ini selepas suku
abad berlalu ialah bersama jawatan Perdana Menteri yang pernah cuba dijauhkan
daripadanya.
Dua hari lalu iaitu 7 Mei, satu lagi sejarah indah datang
menerkam dalam kehidupan Anwar.
Kali ini beliau bukan saja datang lagi ke Bangunan UMNO, malah
mempengerusikan mesyuarat Seketariat Kerajaan Perpaduan di Tingkat 39, Menara
Dato’ Onn iaitu tempat di mana beliau dipecat pada 1998 dahulu.
Anwar sempat mengimbas memori pahit masa lalu itu dengan
memegang kerusi tempat di mana bellau pernah duduk sebelum dipecat dan dihalau
daripada UMNO oleh Tun Mahathir.
Terpaling manis sekali, bersama kedatangannya kali ini sebagai
Perdana Menteri dan Pengerusi Seketariat Kerajaan Perpaduan, beliau akhirnya
dapat duduk di kerusi orang yang memecatnya yang ketika itu adalah Presiden
UMNO.
Selain Anwar berjaya kembali ke Bangunan UMNO selepas 25 tahun
berlalu, dapat melihat kembali kerusi yang pernah didudukinya sebelum dipecat
dan duduk di kerusi orang yang memecatnya, orang yang memecatnya itu pula kini
sudah tersisih jauh daripada UMNO.
Begitulah hebatnya kuasa Tuhan menguji kesabaran dan ketahanan
jiwa seseorang yang kental dalam perjuangan serta dalam masa yang sama seperti
memberi hukuman kepada pihak yang merasakan terlalu megah dengan kuasa yang ada
dalam tangan.
Semua ini adalah pengajaran kepada kita semua bahawa dalam
kehidupan di dunia ini, janganlah terlalu megah dan gah dengan kuasa yang hadir
bersama jawatan kerana kuasa Tuhan sebenarnya lebih agung dan tak terjangkau oleh
manusia untuk memikirkannya.
Dalam kes Anwar ini, bukan saja beliau sendiri barangkali tidak
menjangka dapat kembali ke Bangunan UMNO, Tun Mahathir yang memecatnya dan
kebanyakan rakyat Malaysia juga tidak menjangka sedemikian takdir Tuhan
ditentukan untuk kita semua menyaksikannya.
Melalui dua tarikh itu – 7 Februari dan 7 Mei – Anwar dan UMNO
seperti dipertemukan dalam episod jejak kasih layaknya.
Begitu pun, pada 14 Mei akan datang ini apabila berlangsung
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, WTCKL, sekali lagi
sejarah indah akan tercipta buat Anwar.
Anwar dipecat pada 1998 dan kali terakhir beliau menjejakkan
berada di Dewan Merdeka tentunya ialah ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung
UMNO 1997.
Lebih sedikit daripada 25 tahun berlalu, kembalinya beliau ke
Dewan Merdeka pada 14 Mei nanti adalah sebagai Perdana Menteri merangkap
Pengerusi Seketariat Kerajaan Perpaduan yang dengan sendirinya melayakkannya
sekali lagi duduk di kerusi Tun Mahathir pernah duduk sebelum ini.
Kalau Tun Mahathir sebelum ini duduk di kerusi itu sebagai
Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri, Anwar pula duduk di kerusi
yang sama di Dewan Merdeka sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Pengerusi
Seketariat Kerajaan Perpaduan serta Perdana Menteri.
Dipecat, dihalau dan diketepikan daripada UMNO, tetapi akhirnya
Anwar berjaya kembali ke tempat di mana beliau dipecat dahulu bersama jawatan
idaman yang dengan gigih pernah cuba dipisahkan daripadanya.
Dengan itu, selepas itu 14 Mei nanti, boleh dikira lengkap atau
sempurnalah jejak kasih antara Anwar dengan UMNO yang terpisah selama 25 tahun
lamanya.
Seorang pemimpin UMNO ketika saya berbual-bual dengannya sambil
menceritakan renteran ini lantas berkata, jejak kasih Anwar dengan UMNO
sebenarnya masih belum sempurna lagi.
Kata beliau, ia hanya sempurna jika setelah Anwar kembali semula
kepada UMNO atau dapat membawa PKR yang dipimpinnya bergabung dengan UMNO
menjadi sebuah parti yang lebih besar untuk rakyat Malaysia.
Mungkinkah ia akan menjadi kenyataan? – ShahbudinHusin
09/05/2023.