KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang melaksanakan proses penyerapan 12,800 orang doktor kontrak ke jawatan tetap
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses tersebut dijangka mengambil masa tiga tahun, dan sebagai permulaan, sebanyak 4,300 doktor akan mula diserapkan ke jawatan tetap tahun ini.
Baki pegawai kontrak lain disasarkan untuk diserap menjelang 2025 dan dianggarkan melibatkan peruntukan tambahan sekitar RM1.7 bilion.
“Sebab itulah saya merayu, sementara tuntutan itu munasabah bahawa mereka berkhidmat sekian lama, perkara ini tertangguh lama (namun) untuk tahun ini kita selesaikan semua kita tidak mampu,” kata Anwar di Dewan Rakyat ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, hari ini.
Menurut Anwar, 12,800 doktor kontrak tersebut adalah sebahagian daripada keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak berjumlah 20,330 orang.
Anwar berterima kasih dan memberi penghargaan kepada pegawai perubatan yang tidak terlibat dalam mogok yang didalangi oleh beberapa pihak.
Menurutnya, kerajaan memahami bahawa isu lantikan pegawai kesihatan kontrak yang lama berlarutan.
Kerajaan juga memberi jaminan isu tersebut akan ditangani sebaiknya.
“Mengambil kira bilangan dan implikasi kewangan yang terlibat, Kerajaan mengambil pendekatan untuk menyelesaikan isu ini secara berperingkat.
“Ini termasuk menambah baik peluang latihan kepakaran dan garis panduan sedia ada,” katanya.
Di bawah Belanjawan 2023 kerajaan menyediakan peruntukan emolumen sebanyak RM19.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ia peningkatan hampir RM3 bilion ketimbang peruntukan asal yang disediakan pada tahun 2022.
Peningkatan emolumen adalah untuk membiayai kenaikan gaji tahunan bagi 288,740 perjawatan sedia ada KKM sebanyak RM1.2 bilion.
Peruntukan tambahan untuk keperluan pegawai kontrak RM600 juta.
Pelantikan ke jawatan tetap yang diserap daripada pegawai kontrak dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM1.1 bilion termasuk doktor, pegawai farmasi dan pergigian.