Hari ini (SEMALAM) adalah hari terakhir sidang Parlimen selama 31 hari yang bermula sejak 13 Februari lalu.
Secara kebetulan hari terakhir ini jatuh pada hari Selasa di mana seperti biasa berlangsungnya sesi soal jawab Ahli-Ahli Parlimen dengan Perdana Menteri selama satu jam.
Antara perkara yang dijelaskan oleh Anwar Ibrahim dalam sesi tersebut hari ini ialah menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China, isu vape dan isu doktor kontrak.
Malangnya, ketika sesi itu berlangsung, tidak kelihatan kelibat Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin; Presiden Bersatu merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Mahiaddin Md Yasin dan Presiden Pas yang merupakan Ahli Parlimen Marang, Hadi Awang.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang membuat hantaran mengenai ketidakhadiran ketiga-tiga tokoh itu berkata, dengan ketiadaan mereka blok pembangkang terlepas peluang untuk bertanya soalan, berdepan dan bersemuka dengan Perdana Menteri.
“Sesi pertanyaan dengan Perdana Menteri pada setiap Selasa adalah peluang terbaik bagi pembangkang berbuat demikian sebagai sebahagian proses semak dan imbang ternadap kerajaan,” ujar beliau.
Lebih malang lagi kerana ketidakhadiran ketiga-tiga mereka, terutama Hamzah selaku Ketua Pembangkang ketika sesi tersebut bukanlah kali pertama didedahkan.
Minggu lepas dan kalau tak silap, minggu sebelumnya juga beliau tidak kelihatan sewaktu sesi itu berlangsung.
Ehhh…kenapa asyik tak hadir saja?
Khususnya Hamzah selaku Ketua Pembangkang yang kini jawatan itu telah dinaiktaraf berstatus menteri, ketidakhadiran beliau bukan saja mengecewakan rakyat yang mengharapkannya dapat memainkan peranan dengan berkesan dalam menyemarakkan proses demokrasi, malah PN dan penyokongnya juga pasti kecewa sama.
Hakikat yang nyata, beliau setakat ini seperti tidak berfungsi dengan sewajar dan sebaiknya sebagai Ketua Pembangkang.
Kalau kita lihat ketika Anwar memegang jawatan Ketua Pembangkang, beliau sangat berperanan dan sering saja tampil berani berhujah hampir dalam kebanyakan isu demi kepentingan rakyat dan negara di Parlimen.
Keadaan itu tidak saja menyerlahkan kewibawaanya, bahkan PH dan penyokong serta rakyat juga turut berbangga dengan keaktifannya berperanan itu.
Selain itu, kalau kita lihat juga ketika Ismail Sabri Yaakob memegang peranan Ketua Pembangkang sebelum Anwar, beliau pun terlihat tidak kurang aktif dan berperanan dengan baik.
Sebaliknya Hamzah kelihatan langsung tidak menonjol dan sejuk dalam berperanan memanaskan Parlimen melalui jawatan Ketua Pembangkang yang disandangnya.
Kenapa?
Adakah Hamzah tidak tahu memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang?
Atau beliau tidak berminat?
Sebelum sejuk itu bertukar menjadi beku dan sebelum PN dilihat rakyat tidak berperanan di Parlimen, adalah lebih baik untuk Hamzah sendiri berbuat sesuatu mengenai kedudukannya atau PN mengambil tindakan menukarnya kepada orang lain.
Dalam keadaan semasa dan jika berterusan begini, lebih baiklah jawatan Ketua Pembangkang itu diambil alih oleh Shahidan Kassim yang jelas lebih aktif di Parlimen atau oleh Wan Fahysal Wan Ahmad Kamal yang walaupun kadangkala beliau agak merapu, tetapi satu perkara yang menyerlah tentang dirinya ialah selalu aktif dan berani bersuara di Parlimen.
Apa macam Hamzah, setuju tak? ShahbudinHusin 04/04/2023.