ZAMBRY PERLU JAWAB DAN BERTANGGUNGJAWAB ISU LAWATAN ANWAR KE ARAB SAUDI

 

Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab dalam isu lawatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke Arab Saudi yang mencetuskan masalah, malah dianggap banyak pihak telah memalukan beliau selaku ketua kerajaan?

Semalam, di sebalik Anwar telah menjelaskan kegagalannya bertemu Raja Salman Abdulaziz Al-Saud atau anaknya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi adalah disebabkan pimpinan kerajaan negara itu menukar jadual mereka menjelang Ramadan, saya turut menggesa agar Pejabat Perdana Menteri atau Wisma Putra segera tampil dengan jawapan yang jujur dan sebenar mengenai perkara itu.

Ini kerana penjelasan Anwar itu dilihat tidak begitu meyakinkan, malah terlihat amat kabur.

Begitu pun, disebabkan ia berupa lawatan rasmi seorang Perdana Menteri ke luar negara dan diuruskan oleh Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra dikira lebih wajar tampil ke depan berbanding PMO.

Malangnya, sehingga ini Wisma Putra masih senyap sunyi seribu bahasa dan Menteri Luar Negeri, Zambry Abdul Kadir langsung tidak berkata apa-apa.

Selaku Menteri Luar Negeri yang mengetuai Wisma Putra, Zambry tidak boleh berdiam diri dalam hal sepenting ini yang turut memberi kesan kepada imej seorang Perdana Menteri.

Tetapi, kenapa Zambry dan Wisma Putra masih berdiam diri?

Bukankah mereka sepatutnya tampil paling ke depan menjelaskan perkara sebenar serta mempertahankan Anwar yang dilanyak teruk dalam isu lawatan tersebut?

Perkara paling penting untuk dijelaskan ialah sama ada pertemuan Anwar dengan Raja Salman atau anaknya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman memang dianjak di saat-saat akhir atau ia sudah dimaklumkan kepada Wisma Putra sebelum rombongan berlepas ke Arab Saudi?

Sejak negara merdeka, kita belum pernah mendengar berlaku perkara seperti ini dalam hubungan diplomatik Malaysia dengan mana-mana negara.

Lebih-lebih lagi dalam hubungan antara Malaysia dengan Arab Saudi yang merupakan negara Islam terpenting serta sahabat kepada kita.

Lebih daripada itu, dengan dua kota suci umat Islam iaitu Makkah dan Madinah berada dalam kawalannya, hubungan Malaysia dengan Arab Saudi jauh lebih penting lagi.

Dalam setiap lawatan ketua kerajaan ke negara, ia biasanya akan dimuktamadkan terlebih dahulu oleh Wisma Putra agar semua aturcara berjalan lancar dan tiada masalah timbul di saat-saat akhir, terutama melibatkan pertemuan sesama rakan sejawat.

Sebab itu, penjelasan dan tampilnya Zambry dalam isu ini adalah amat mustahak sekali.

Yang nyata, apa yang berlaku dalam lawatan Anwar ke Arab Saudi baru-baru ini adalah satu perkara yang tidak harus dipandang ringan dan Zambry selaku Menteri Luar Negeri harus menjawab serta bertanggungjawab terhadapnya.

Di mata umum, aturan hubungan diplomatik oleh Wisma Putra di bawah kendalian Zambry selaku Menteri Luar Negeri adalah tidak kemas dan ada kelemahan atau kesilapan yang ketara. – ShahbudinHusin 27/03/2023