Tiada hak Melayu tergadai sejak Anwar jadi PM
Ungkapan bekas Ahli Parlimen Langkawi Tun Mahathir Mohammad kononnya orang Melayu hilang punca kuasa menimbulkan persoalan tentang kebenaran fakta tersebut
Menurut Ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak jelas taktik yang dilakukan Mahathir kali ini adakah untuk memperjuangkan Melayu atau ingin melanjutkan permusuhan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menjadi seteru sejak 1998 lalu.
“Apakah dosa Anwar Ibrahim kepadanya, kita pun tidak mengerti.
“Seperti modus operandi lama yang diguna pakai, maka isu sentimen Melayu sekali lagi digunakan. Kali ini terlibat dalam usaha mengadakan pertemuan yang dipanggil Perhimpunan Proklamasi Melayu.
“Setiap kali tokoh ini tersisih dari arus politik negara, dia akan menggunakan kartu atau kad kaum untuk dia kekal relevan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini media melaporkan Mahathir bakal hadir ke satu perhimpunan anjuran Sekretariat Tanah Air yang kononnya bagi membincangkan isu-isu berkaitan masyarakat Melayu.
Pada sidang media 4 Mac lalu, Mahathir mula kembali menjaja isu kaum dengan berkata kaum Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali Pilihan Raya Umum (PRU)
“Saya ingin bertanya kepadanya. Dia telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun kali pertama. Apa yang dia telah buat untuk orang Melayu biasa, kecuali kapitalis-kapitalis kroni anak pinak dan para sahabat sendiri.
“Pada tahun 2018, dia telah diberi peluang menjadi perdana menteri selama 22 bulan. Kenapa tidak dibuat segala dasar dan program untuk membela nasib orang Melayu?… Kenapa sekarang hendak bercakap membela nasib orang Melayu?” soal Hassan.
Justeru Hassan menegaskan, sejak Anwar dilantik mengetuai pentadbiran negara tiada satu pun kepentingan orang Melayu telah tergadai.
Maka apakah keperluannya perjuangan proklamasi Melayu yang ditaja Mahathir itu.
“Mana kepentingan orang Melayu yang telah digadai oleh Anwar? Jawapannya Tiada.
“Mana hak-hak orang Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan telah dikompromi oleh Anwar Ibrahim? Juga jawapannya tiada,” kata Hassan sambil mengingatkan mahathir agar tidak bermain bermain ‘api’ yang akibatnya akan membakar negara sendiri.