ZAINUDDIN OMAR
Di Perancis 1 juta rakyat berdemo menolak cadangan Kerajaan
untuk naikkkan umur persaraan dari 62 kepada 64.
Kalau sini ramai berusaha agar mereka dapat bekerja sehingga 70
dan tidak mahu bersara.
***************
LEBIH 1 juta rakyat Perancis menyertai protes pada Khamis,
menolak cadangan rang undang-undang pembaharuan pencen kerajaan yang akan
menaikkan umur persaraan daripada 62 kepada 64, menurut Kementerian Dalam
Negeri Perancis.
Bagaimanapun, kesatuan terbesar Perancis, Konfederasi Buruh Am
(CGT) memaklumkan kira-kira 3.5 juta orang telah mengambil bahagian dalam
demonstrasi di seluruh negara, lapor Xinhua.
Peristiwa Khamis menandakan tindakan mobilisasi umum kesembilan
di seluruh negara sejak Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne minggu lalu
mengumumkan perlembagaan yang membenarkan kerajaan meluluskan rang
undang-undang reformasi pencen.
Bimbang protes bertukar ganas, 12,000 anggota polis ditempatkan
di seluruh negara, termasuk 5,000 di Paris.
Walaupun kebanyakan demonstrasi berlangsung secara aman,
terdapat beberapa penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan polis, menyebabkan
sekurang-kurangnya 123 anggota pasukan keselamatan cedera, kata Menteri Dalam
Negeri Perancis Gerald Darmanin.
Polis Perancis menggunakan gas pemedih mata dan anjing polis
bagi menyuraikan penunjuk perasaan.
Kerajaan terpaksa menutup tempat-tempat bersejarah pada Khamis,
termasuk Istana Versailles dan Menara Eiffel susulan protes.
Majlis makan malam yang dijadualkan di Istana Versailles antara
Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Raja United Kingdom Charles III semasa
lawatan negara akan datang, turut diubah atas sebab keselamatan.
Macron berkata pada Rabu bahawa rancangan pembaharuan pencen
kerajaan harus menjadi undang-undang “sebelum akhir tahun”.
Di bawah pelan pembaharuan itu, umur persaraan yang sah akan
dinaikkan secara berperingkat daripada 62 kepada 64 menjelang 2030, dan pencen
minimum akan diperkenalkan.
Pelan itu turut menetapkan pada 2027, pekerja perlu berkhidmat
selama 43 tahun sebelum layak mendapat pencen penuh. – Bernama, 24 Mac 2023.