Keputusan kerajaan menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula tahun hadapan disambut baik Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu bukan
sahaja dijangka akan memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai, malah
akan membuka perkhidmatan kepada pihak lain yang berkelayakan yang akhirnya
akan mewujudkan budaya persaingan sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan.
"Isu yang timbul melibatkan perkhidmatan Puspakom sebenarnya
sudah lama, aduan yang diterima daripada orang ramai tidak dipandang serius
memandangkan mereka merupakan penyedia perkhidmatan tunggal pemeriksaan berkala
kenderaan motor.
"Jadi dengan langkah ini, syarikat baharu yang akan
menyediakan perkhidmatan ini kelak dapat menangani kekurangan yang ada di
Puspakom, sekali gus membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang lebih
baik," kata Nadzim dipetik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bermula 1
Sept 2024, Puspakom tidak lagi akan menjadi penyedia tunggal perkhidmatan
pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Langkah itu berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 Mac
lepas agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor, dibuka kepada
mana-mana pihak yang berkelayakan.
Sementara itu, Nadzim turut menyatakan harapan agar langkah
membuka perkhidmatan itu kepada syarikat lain turut disusuli dengan penubuhan
satu badan pemantau.
Ia bagi mengawal selia perkhidmatan selain menangani aduan
membabitkan kualiti dan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh
syarikat-syarikat yang bakal dilantik kelak.
"Saya mohon kerajaan tubuhkan satu badan untuk kesan semua
kelemahan dalam perkhidmatan yang diberikan, termasuk sama ada dari Puspakom
mahupun syarikat-syarikat baharu dan kemudiannya melakukan siasatan untuk
membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya," katanya.