Kerajaan Perpaduan ditentang dari segenap sudut oleh pembangkang
yang kononnya pejuang Melayu tulen.
Namun bagi Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, pejuang
Melayu bukanlah satu slogan tetapi perlu pembuktian kata kata.
Anehnya, kata beliau, apabila kerajaan memperkenalkan program
Inisiatif Pendapatan Rakyat, Rahmah dan basmi kemiskinan tegar, pejuang Melayu
tersebut pula yang menentang habis habisan menggunakan hujah Melayu, Islam dan
agama.
"Itu satu langkah (program merakyat ekonomi), kedua kita ada
tokoh yang dikaitkan dengan Syed Mokhtar (hartawan Melayu) yang dikaitkan
dengan Jana Wibawa dan lain lain. Kita buat pilihan, orang yang ada kekuatan
dana, tidak ada masalah dia laksana projek besar, pelabuhan dan lain lain.
"Tetapi bila menyentuh kedudukan pesawah padi, saya minta
beliau untuk memberi sumbangan besar kepada pesawah. Maka diserahkan RM60 juta
Disember tahun lalu dan awal tahun ini. Saya bicara lagi dengan dia maka dia
berikan 30% keuntungan Bernas setiap tahun kepada pesawah padi.
"Itu pilihan kita. Apa pilihan mereka (pembangkang)? RM200
juta masuk akaun parti.
"Jadi saudara pilih. Kita 'bukan pejuang Melayu', bukan
'pejuang rakyat'. Yang mahu dihimpunkan esok kononnya termasuk pejuang rakyat,
pejuang Melayu tulen. Kamu pejuang Melayu tulen, ambil dana masuk parti dan
kamu mentekedarah untuk kamu dan keluarga kamu," katanya dalam ucapan di
Stadium Melawati, Shah Alam, pagi ini.
Justeru Anwar mahu jentera KEADILAN mengulang ulang fakta Kerajaan
Perpaduan memilih untuk memperjuangkan rakyat sebagai mesej utama kempen dalam
Pilihan Raya Negeri akan datang.
"Kami memilih untuk menjaga kepentingan rakyat, pesawah yang
miskin. Saya percaya saudara bawa naratif ini, kita pilih bela nasib rakyat.
Kita tidak guna kuasa untuk menyogok pemimpin parti sehingga jadi kaya raya.
Membeli orang dalam pilihan raya. Kita akan lawan mereka berdasarkan prinsip
ini dan inshaAllah kita akan menang," katanya lagi.
Dalam ucapan itu juga Anwar mahu Malaysia bukan sahaja dikenali
dengan Menara Berkembar Petronas, Putrajaya kota megah tetapi juga rakyat biasa
yang dimuliakan seperti warung dan gerai makan yang terjaga dan perumahan
rakyat teratur.