1. Apabila menerima tawaran untuk menjadi Ketua Pengarah J-KOM,
hasrat saya cuma satu: saya mahu membantu PM membangunkan negara ini.
2. Saya gembira apabila PM mengumumkan wawasannya Malaysia
Madani. Malaysia Madani mengangkat kemampanan, kesejahteraan, masyarakat yang
inovatif, saling menghormati, keyakinan, dan keihsanan. Saya yakin wawasan PM
ini akan mampu membina peradaban bangsa kita yang hebat.
3. Namun, sebulan setengah di sini, saya sedih dengan isu yang
dimainkan pihak oposisi.
4. Saya memandang serius naratif Melayu-Islam terancam ini. Apa
yang terancam pun saya sendiri kabur. Apakah betul-betul terancam atau sengaja
ditimbulkan oleh pihak oposisi untuk menunjukkan PM lemah dan kerajaan ini
lemah?
5. Saya ingat di bawah kerajaan dahulu, PH dilemahkan dengan isu
Adib, gereja, Jawi, ICERD, Statut Rom, kitab Injil dan lainnya. Kini, isu yang
sama muncul lagi. Muncul kembali isu gereja, kerajaan zalim, Kristianisasi,
LGBT, mentega terbang, dan parti oposisi dimandulkan.
6. Saya sedih. Gerak kerja pelaksanaan gagasan Malaysia Madani
terganggu kerana isu-isu ini.
7. J-KOM banyak duit? Bajet 2023, J-KOM diperuntukkan RM18.692
juta sahaja untuk urusan emolumen, pengurusan, dan program.
8. Banyakkah jumlah ini berbanding dengan peruntukan untuk JASA
dan J-KOM sebelum ini? J-KOM ditadbir mengikut semua prosedur kerajaan, baik
itu dalam perbelanjaan, operasi dan perjawatannya.
9. Saya membodek PM? Untuk apa saya bodek? Saya tidak bodek
sesiapa tetapi mempertahankan PM kerana saya faham hasrat PM untuk membawa
reformasi kepada negara yang bertuah ini.
10. Ini yang saya mahu, tetapi bagaimana PM boleh tumpukan
kepada tugasnya jika setiap hari kita bermain dengan sentimen dan emosi
perkauman.
11. Kelmarin, hati saya terubat apabila PM tegas menyatakan
jangan ugut beliau dengan naratif yang boleh menghuru harakan negara. KPN juga
bersuara kelmarin. Dan hari ini pengerusi SKMM memberikan amaran tegas akan
mengambil tindakan kepada posting-posting yang menggugat keharmonian negara.
12. Saya boleh menerima perbezaan pendapat. Tetapi janganlah
sampai ke tahap fitnah, memburukkan peribadi, dan mengancam ketenteraman
negara. Janganlah sampai ke tahap hidup kita tidak harmoni. Islam tidak
mengajar kita begitu.
13. Saya mohon agar berilah kerjasama kepada kerajaan untuk
melaksanakan tugasnya. Berilah juga ruang kepada J-KOM untuk turun ke lapangan
menyantuni rakyat dan menyebarkan wawasan baik tentang Malaysia Madani ini.
14. Ada dakwaan, biarlah sistem kehakiman mengadilinya. Kita
negara undang-undang. Yakinlah kepada institusi negara kita kerana negara kita
perlu ke depan untuk mensejahterakan rakyat.
15. Betulkah Melayu-Islam terancam? Saya tidak melihatnya
begitu. Yang jelasnya, kitalah yang mengancamnya hanya kerana perbezaan
politik.
DATO’ DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF
Ketua Pengarah J-KOM