Menjelang pemilihan MT UMNO pada 18 Mac ini, kumpulan pro Presiden dilaporkan semakin agresif menyusun gerakan agar mereka berjaya menguasai sebahagian besar kemenangan, kalau pun tidak sepenuhnya.
Keadaan ini tentunya berikutan dapatan atau kajian umum setelah beberapa negeri selesai mengadakan majlis pengenalan calon setakat ini mengunjurkan bahawa calon pro Presiden masih lagi ketinggalan.
Calon Naib Presiden pro Presiden iaitu Khaled Nordin, Wan Rosdy Wan Ismail dan Azalina Othman Said ketika ini didapati hanya berada di kelompok empat terbawah daripada lapan calon yang menawarkan diri.
Kedudukan empat teratas sehingga ini diungguli oleh Mahadzir Khalid, Johari Ghani, Reezal Merican Naina Merican dan Hasni Mohamad.
Keadaan ini dilihat agak merunsingkan kerana calon pro Presiden semuanya berjawatan sama ada menteri atau menteri besar, berbanding empat calon teratas itu yang sekadar bekas menteri dan bekas menteri besar saja.
Berikutan itu, Geng 30 Ketua-Ketua Bahagian yang pro Presiden difahamkan telah mengadakan mesyuarat tergempar dua hari lalu untuk memastikan kedudukan yang buruk itu dapat diperbaiki atau diterbalikkan.
Matlamat mesyuarat itu dikatakan tidak lain adalah untuk memastikan cai pro Presiden mesti beroleh kemenangan.
Geng 30 ini adalah sebahagian daripada Ketua-Ketua UMNO yang mengadakan sidang media sebelum PAU2022 baru-baru ini yang mendakwa kononnya 140 Ketua-Ketua Bahagian sebulat suara menyokong kepimpinan Zahid Hamidi.
Dalam pertemuan itu, dikatakan bukan saja ditekankan agar calon Naib Presiden yang pro Presiden iaitu Khaled Nordin, Wan Rosdy dan Azalina wajib dipastikan kemenangannya dengan apa cara sekali pun, malah juga mesti disertai dengan memenangi sebahagian besar jawatan dalam MT.
Dengan itu, dalam pertemuan tersebut, selain calon Naib Presiden pro Presiden itu mahu diperkuatkan lagi kempennya, cai bagi jawatan MT turut sama disebarkan.
Sasarannya ialah agar gerakan kempen dipertingkatkan lagi ke bahagian-bahagian di seluruh negara.
Ia bertujuan supaya selepas pemilihan pada 18 Mac ini, Presiden dan Timbalan Presiden hanya memiliki pasukan yang sealiran, sehati sehiwa atau dalam erti kata lain, hanya yang sedia menjadi “yes man” kepada Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan saja akan beroleh kemenangan.
Antara nama-nama yang dikatakan disebut mesti dipastikan kemenangan bagi kerusi MT ialah Shafie Abdullah, Lokman Nor Adam, Dr. Puad Zarkashi, Jamal Yunus yang lain-lain yang selama ini diketahui memang kuat dan lantang mempertahankankan kedudukan Presiden UMNO.
Dalam usaha untuk memastikan gerakan kempen itu benar-benar beroleh kejayaan, difahamkan beberapa isu telah dibangkitkan dalam mesyuarat itu seperti upah menyokong, pemberian jawatan dalam GLC serta agensi kerajaan dan lain-lain lagi.
Adalah dipercayai, dalam minggu terakhir sebelum 18 Mac ini, gerakan kempen tersebut akan tambah memuncak melalui pelbagai kaedah komunikasi, baik secara langsung atau hubungan secara maya, pertemuan sulit atau perjumpaan terbuka.
Pokoknya, ketakutan paling utama bagi Geng 30 ini ialah kumpulan pro Presiden bagi jawatan Naib Presiden dan MT akan kalah sebahagian besar atau kecuncang semuanya. – ShahbudinHusin 11/03/2023.