*KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA POLITIK PERDANA
MENTERI*
𝟮𝟲 𝗠𝗔𝗖
𝟮𝟬𝟮𝟯
Saya mengambil maklum terhadap suara-suara
dari beberapa pihak berkepentingan yang sengaja mempolitikkan isu berkenaan
lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi baru-baru ini.
Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini
tatkala saya turut bersama dalam delegasi bersama Perdana Menteri ke
sana.
Jadual Perdana Menteri sangat padat dan
tersusun di mana beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC) dan badan Liga Muslim Dunia di Makkah selain menyaksikan beberapa
pemeteraian MoU penting melibatkan lapangan perniagaan dan industri selain
menekuni beberapa permasalahan mendesak yang merundung dunia Arab dan Islam dan
juga menyantuni komuniti serta mahasiswa Malaysia di Arab Saudi.
Meski cubaan mereka untuk menggariskan
lawatan berkenaan sebagai satu bentuk kegagalan dan pembaziran dana rakyat,
saya ingin menegaskan bahawa lawatan tersebut sangat berhasil, malah
memperkukuh hubungan Putrajaya-Riyadh meski dalam tempoh yang singkat Perdana
Menteri di tampuk pemerintahan.
Ingin dimaklumkan juga pihak kerajaan Arab
Saudi telah meminta untuk lawatan ini dilanjutkan bagi menyusun pertemuan
dengan pimpinan kerajaan Arab Saudi. Namun, Perdana Menteri terpaksa menolak
secara baik kerana beliau telah dijadualkan untuk hadir ke majlis berbuka puasa
bersama KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
semalam dan akan melakukan kunjungan rasmi ke Phnom Penh, Cambodia pada Isnin
ini, seterusnya Hainan dan Beijing pada Rabu bagi bertemu Presiden Xi Jinping
dan rakan sejawatnya Premier Li Qiang.
Saya menggesa kepada pihak yang kekontangan
modal dan bankrap isu untuk menghentikan polemik ini dan bersama mendukung
usaha dan upaya Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh imej Malaysia selain
memantapkan kerjasama dan hubungan luar negara.
#MalaysiaMADANI
AHMAD FARHAN FAUZI
Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri