KEADILAN langgar Quran: Hj Hadi rujuk dalil mana?
Tulisan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang cuba menggambarkan KEADILAN melanggar al Quran membingungkan rakyat kerana kabur dan tidak merujuk mana mana bahagian pelanggaran dengan jelas.
Bagi Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan, Presiden Pas itu sepatutnya memperincikan tulisannnya yang disiar Harakahdaily kepada pelanggaran yang berlaku, khususnya dalam ucapan pemimpin KEADILAN pada Kongres Nasional Khas Sabtu lalu sekiranya hal itu yang menjadi asas tulisan beliau.
Kata Amidi, perkara yang dirujuk dalam ucapan mungkin berkisar kepada sikap Hj Hadi yang sering tidak hadir ke parlimen dan hal itu perlu dijawab tanpa mengaitkannya dengan agama.
“Saya cuba memahami tulisan dalam Minda Presiden PAS yang melabelkan ‘PKR Lawan al-Quran’. Saya juga cuba mencari di manakah kenyataan yang disebutkan dalam mana-mana ucapan sewaktu penggulungan dalam Kongres Khas KEADILAN 2023.
“Dalam pengamatan saya dan ilmu yang terbatas ini tiada satu pun kenyataan yang dikeluarkan yang sepadan dengan maksud tajuk tulisan Minda Presiden itu.
“Pihak Pimpinan KEADILAN hanya mahukan keikhlasan dan kesungguhan wakil rakyat Marang dan beberapa ahli Parlimen dari PN untuk hadir ke sidang parlimen.
“Jika wakil Marang hanya sibuk beraksi dengan berpidato di merata tempat tapi tidak ke sidang parlimen, maka itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan agama. Agama Islam menitikberatkan soal kesucian dan keberkatan pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Amidi juga menegaskan jawapan Hj Hadi sebelum ini bahawa parlimen bukanlah sekolah yang perlu beliau hadir setiap hari juga mengelirukan.
Katanya, parlimen lebih penting daripada sekolah kerana membenarkan berlakunya semak dan imbang atau al-amru bi il- ma’ruf wa nahyu a’ni il- munkar. Di situ jugalah punca peraturan dan undang-undang digubal.
“Jika kesepaduan antara agama Islam dan politik yang diperjuangkan maka parlimenlah tempatnya. Ia bukan sahaja menjadi wajib dari sudut politik tetapi juga dari sudut dakwah sebagaimana yang dipamerkan oleh generasi para sahabat di Madinah sehingga meraih gelaran Khayra Ummah
“Saya percaya jika wakil Marang rajin ke parlimen pada sesi yang lepas, RUU 355 sudah tentu telah dibahas dan diluluskan dengam restu MCA, MIC dan GPS,” katanya.
Malah, kata beliau jika Hj Hadi selalu ke Dewan Rakyat juga maka beliau boleh membetulkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggapnya zalim.
Ahli Parlimen Marang itu juga, katanya, boleh memberi pandangan apabila PM membacakan ayat Quran sewaktu membentangkan RUU Perbekalan bagi tahun 2023.
“Agak melucukan apabila menuduh KEADILAN mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang bertentangan dengan Islam, sedangkan perkara yang serupa dilakukan oleh wakil Marang bersama sekutunya sebelum ini.
“Wakil Marang terlupa lafaz ikrar yang dibaca ketika kali pertama bersidang bagi setiap sesi sejak 1982 (tahun beliau menjadi Ahli Parlimen), iaitu setiap wakil rakyat perlu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa dan ketika.
“Maka ludahan ke langit akan hinggap di muka sendiri. Sistem pemerintahan di Malaysia semuanya berdiri di atas Perlembagaan ini. Baik raja, perdana menteri, pegawai dan pentadbir malah para asatizah sekalipun semuanya dinaungi oleh Perlembagaan yang dikatakan bertentangan dengan al-Quran oleh wakil Marang itu,” katanya lagi.
Oleh itu, Amidi berkata tulisan terbaharu Hj Hadi amat jelas menunjukkan wakil Marang sedang memperkukuh fahaman bercitra khawarij yang ditolak oleh Ahlus sunnah Waljamaah.