KALAU TAK MAHU UNDI MELAYU PECAH, SEBAIKNYA BUBAR SAJA PEJUANG

 Susulan ditolak permohonan untuk menyertai PN tanpa diberi sebarang alasan, Pejuang lantas menzahirkan kekecewaan yang amat sangat atas tindakan tersebut.

Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah berkata, adalah amat mendukacitakan bahawa iltizam dan matlamat parti itu untuk tidak memecahkan undi orang-orang Melayu tidak disambut oleh pimpinan PN.

Sehubungan itu, Pejuang memaklumkan pihaknya akan terus menggerakkan jentera untuk bersiap sedia menghadapi PRN akan datang ini.

Soalnya siapa yang memecahkan undi Melayu dan sejauh mana kekuatan Pejuang yang hilang deposit semua kerusi ditandinginya pada PRU15 lalu pada ketika ini?

Kenapa Pejuang masih mahu bertanding dan mahu menggerakkan jentera bagi menghadapi PRN sedangkan dengan hilang deposit semua kerusi itu adalah petunjuk paling konkrit ia sebuah parti yang sangat lemah?

Jika benar Pejuang tidak mahu undi Melayu berpecah, tidak sudah menyelesaikannya kerana langkah terbaik ialah ia tidak bertanding sama sekali pada PRN akan datang ini.

Lebih terbaik, malah paling terpuji sekali jika Pejuang dengan kadar segera membubarkan terus parti itu.

Pejuang harus sedar, kekalahan yang teruk dialaminya pada PRU15 lalu adalah petanda ia tidak diterima dan ditolak sama sekali oleh pengundi Melayu.

Hanya dengan Pejuang tidak bertanding atau membubarkan partinya dan seterusnya sekelumit kecil orang Melayu yang ada dalam parti itu, termasuk pimpinan utamanya menyertai parti Melayu lain yang lebih besar dan diterima rakyat, maka dengan sendirinya undi Melayu tidak berpecah lagi.

Selagi Pejuang ada dan terus bertanding, berdasarkan keadaannya sekarang, ia akan tetap kalah dan hilang deposit lagi.

Kalau ketika Tun Mahathir Mohamad masih ada bersama Pejuang pun ia hilang deposit semua kerusi, sudah tentulah setelah beliau keluar parti dan kini hanya dipimpin oleh anaknya, Mukhriz bersama mereka yang tiada pengaruh, kekalahan yang bakal diterima akan lebih buruk lagi.

Jadi, eloklah sedar diri sebelum tersemban buat kali kedua.

Sebenarnya, dalam hal ditolak menyertai PN ini, Pejuang tidak perlu menyalahkan PN kononnya tidak bersama dengan matlamat mahu menyatukan undi Melayu.

Sebaliknya, Pejuang harus melihat cermin terlebih dahulu.

Semua orang tahu, hasrat Pejuang menyertai PN, tujuannya tidak lain ialah untuk memastikan empat kerusi DUN yang sekarang dimilikinya – dua di Kedah dan dua di Selangor – dapat terus dipertahankan melalui naungan mana-mana gabungan tersebut.

Tetapi, dengan hilang deposit semua kerusi pada PRU15 lalu, ia dengan sendirinya memberi gambaran Pejuang tiada kekuatan dan empat kerusi itu, jika PN bertanding dalam kedudukan sekarang, mereka sendiri boleh memenanginya.

Daripada diserahkan kembali kepada Pejuang untuk bertanding, lebih baik PN saja yang bertanding atas kekuatan mereka sendiri.

Bak kata pepatah – kalau boleh sakau sorang-sorang, buat apa nak berkongsi dengan orang lain?

Itu saja sebabnya PN tidak mahu menerima Pejuang, malah tidak perlu memberi apa-apa alasan.

Pejuang sepatutnya faham-faham sendirilah hal mudah seperti ini.

Sepatutnya, sebelum memohon menyertai PN untuk bernaung, Pejuang mesti membuktikan kekuatan mereka terlebih dahulu dan menyerlahkan ia sebuah parti mereka benar-benar ada nilai tambah.

Ini tidak, sudahlah tiada nilai tambah, datang pula hanya untuk menambah masalah dan tak pasal-pasal PN kena susun semula pembahagian kerusinya.

Mudah kata, kelemahan paling awal dalam hal ini ialah bila Pejuang sendiri memohon menyertai PN tanpa memperkuatkan partinya terlebih dahulu, bahkan mengharapkan PN untuk memberi kekuatan tambahan kepada mereka. – ShahbudinHusin 22/03/2023.