USAHA ANWAR PERANGI RASUAH UNTUK BERSIHKAN NEGARA, BUKAN KERANA DENDAM ATAU MENGANIAYA

 

Baik Mahiaddin Md Yasin atau sesiapa saja yang sedang disiasat SPRM atas kemungkinan melakukan rasuah, salah guna kuasa atau mencuri wang negara, tak usah gelabah atau gundah gulana.

Jika tiada kesalahan dilakukan, tiada apa yang perlu mereka takutkan.

Ketika disiasat oleh pihak berkuasa, baik mengenai projek yang dikaitkan dengan anak menantu atau dakwaan penerima dana daripada kontraktor yang dimasukkan ke dalam akaun bank Bersatu, berilah jawapan yang tulus, jujur dan berdasarkan fakta yang sebenar.

Tak usahlah cuba mengaitkannya dengan kononnya ia fitnah kepada PN dan andaian disebabkan ketakutan PH berdepan enam PRN yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Semua itu bukan saja tiada kaitan, malah tidak munasabah sama sekali.

Mereka-reka tuduhan adalah merbahaya kepada PH sendiri kerana ia boleh mengundang simpati rakyat kepada PN.

Lantaran itu, jika tiada asas yang kukuh, tidak mungkin Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sedia membenarkan perkara itu berlaku.

Sudah tentu, siasatan yang dijalankan kerana ada asas, selain ada adun telah diterima.

Lagi pula, apa kaitan kemenangan dalam PRN dengan kedudukan kerajaan pusat yang ditadbir Anwar?

Hakikatnya, dengan sokongan mantap parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan, siapa pun yang menang di enam PRN itu nanti tidak menjejaskan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Begitu juga dengan siasatan yang dilaporkan telah dijalankan terhadap seorang bekas Menteri Kewangan yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa di luar negara berdasarkan maklumat Pandora Papers yang bocor tidak lama sebelum ini.

Semua itu juga bukan bersifat dendam atau bertujuan menganiaya orang berkenaan, mereka pun tidak perlu bimbang atau takut jika tiada kesalahan telah dilakukan.

Sebagaimana sering disebut ketika belum berkuasa dan kemudian diulang banyak kali setelah menjadi Perdana Menteri, keseriusan Anwar dalam memerangi rasuah dengan memulakan siasatan terhadap beberapa kes yang sedang berjalan sekarang adalah bukti beliau sedang menunaikan janji-janjinya.

Tidakkah kita mahu seorang pemimpin itu sentiasa berpegang pada janji?

Anwar hanya ingin membersihkan negara ini daripada rasuah, ketirisan, rompakan dan pencurian kerana negara terbukti telah kerugian berbilion ringgit melalui amalan tersebut sejak puluhan tahun dulu lagi.

Dengan rasuah dan ketirisan dapat dikawal, ia bukan saja dapat menyelamatkan harta negara, bahkan faedah akan melimpah kepada rakyat akhirnya.

Sebagai rakyat di mana selama ini mereka menyaksikan asal bergelar pemimpin saja, mesti seseorang itu dan keluarganya jadi kaya raya dalam sekelip mata, semua ini adalah petanda paling nyata berleluasanya amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Tiada pilihan lain demi masa depan anak cucu kita melainkan kita mesti menyokong usaha murni Anwar dalam memerangi rasuah ini. – ShahbudinHusin 15/02/2023.