Siasatan SPRM boleh tentukan punca kewangan Bersatu
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dialu alukan banyak pihak.
Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, hal itu penting bagi memastikan sumber dana yang diperolehi oleh parti yang baru berumur kurang 7 tahun berkenaan tidak terus dipertikaikan.
Katanya, pada waktu ini rakyat tertanya tanya dari manakah sumber kewangan Bersatu sehingga mampu mengumpul RM300 juta sebagaimana didedahkan dalam sidang media Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
“Kalau secara waras kita berfkir, mana mana parti pun kalau dia mungkin individu (ahli dan pimpinan) dia kaya kaya, ramai pemimpin berduit, tetapi agak (masih) pelik kalau mereka boleh mengumpulkan duit dan harta dalam tempoh yang pendek secara banyak.
“Tetapi baguslah sekarang siasatan boleh dilakukan. Jadi saya harap siasatan ini juga melihat punca dari mana datangnya wang yang begitu besar jumlahnya dalam masa yang pendek itu,” katanya.
Semalam dalam sidang medianya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata siasatan ke atas akaun Bersatu ditentukan dan dikendalikan sepenuhnya oleh SPRM serta tidak wujud campurtangan Kerajaan Perpaduan.
“Mereka melakukan siasatan yang rapi, didapati dalam akaun parti RM300 juta. Tentulah harus dijelaskan.
“Harus pimpinan parti sekiranya mereka bersih sebagaimana diceritakan, dia kena jelaskan kepada badan penyiasat mengapa dalam masa singkat boleh mengumpul wang sebegitu banyak dan dari sumber mana, kepada siapa? Itu tugas SPRM dan barulah dibawa kepada Peguam Negara (sekiranya wujud kes),” katanya dipetik.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini menunding jari kepada Kerajaan Perpaduan kononnya siasatan SPRM ke atas parti itu merupakan usaha menjadikan agensi kerajaan sebagai alat mencapai matlamat politik bagi membunuh kredibiliti Bersatu serta Perikatan Nasional.